PERDA Bidas Kenyataan Lim Guan Eng Berkaitan Penjualan Tanah Di Tok Keramat

BUTTERWORTH, 1 April – Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) hari ini, membidas kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang mendakwa agensi itu menjual tanah di Tok Keramat, Seberang Prai Selatan (SPS), bawah harga pasaran.

image

Pengerusi PERDA, Datuk Shabudin Yahaya, berkata Guan Eng terlalu terburu-buru dalam isu itu, serta dinasihatkan supaya melihat perkara berkenaan dalam skop lebih luas dan bukan hanya membuat perbandingan harga semata-mata.

Shabudin berkata, tanah berkenaan dipecah kepada beberapa lot kecil sebanyak 240 lot yang diluluskan dalam Pelan Kebenaran Merancang untuk membina rumah kos rendah pada 1988.

“Projek pembangunan ini sudah terbengkalai sejak 30 tahun lalu kerana masalah mendapan.

Malah, sebanyak 107 rumah fasa 1 yang sudah dibina di terpaksa dirobohkan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, selepas membuat kos analisa keuntungan, projek ini dilihat sebagai liabiliti untuk dibangunkan yang mana PERDA akan menanggung kerugian sebanyak RM10 juta jika diteruskan.

“PERDA memutuskan bahawa hasil jualan tanah itu hendaklah digunakan untuk membeli tanah ganti di dalam kawasan SPS dan terkini kami sudah pun berurusan untuk membeli sebidang tanah berkeluasan 4.8 hektar untuk membina lebih banyak rumah kos rendah,” katanya.

Mengulas lanjut, Shabudin berkata, PERDA sedia maklum mengenai mengenai nilai semasa tanah berkenaan, tetapi nilai semasa didakwa Guan Eng itu adalah nilai sekitar.

Justeru, PERDA menjual tanah ini dengan meletakkan syarat kepada pemaju supaya membangunkan lebih banyak rumah kos rendah dan mampu milik berharga RM42,000 hingga RM72,000 selain tidak boleh melebihi RM200,000.

“Oleh itu hendaklah difahami bahawa nilaian keuntungan RM15 juta yang sepatutnya diperoleh PERDA diagihkan faedahnya kepada 250 pembeli melalui harga jualan rumah yang jauh lebih rendah.

Tindakan itu selari dengan peranan PERDA untuk membantu rakyat dan bukan untuk mengaut keuntungan” katanya.

Beliau berkata, sekiranya PERDA menjual tanah berkenaan mengikut nilai semasa maka rumah yang dibina akan dijual pada harga antara RM400,000 hingga RM500,000.

Semalam, Guan Eng meminta Shabudin memberi penjelasan berhubung penjualan tanah awam milik PERDA pada harga di bawah pasaran.

Katanya, proses penjualan tanah di SPS itu dilakukan pada tahun lalu dengan tarikh penukaran hak milik pada 28 Jun 2015 dengan nilai lebih RM1.4 juta.

Advertisements