Polis Ambil CPU Di Pejabat PKR Bagi Membantu Siasatan

KUALA LUMPUR, 6 April – Polis mengambil beberapa peralatan, termasuk unit pemprosesan pusat (CPU) komputer dan telefon bimbit bagi membantu siasatan terhadap Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang ditangkap, petang semalam.

Perhaps-no-1MDB-linked-systemic-collapse-but-downgrade-catastrophe-looms-1024x576

Kesemua peralatan itu diambil ketika sepasukan anggota dan pegawai polis membawa Naib Presiden PKR itu memeriksa tiga lokasi iaitu Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, pejabat Ahli Parlimen Pandan di Pandan Jaya, serta kediaman Rafizi di Bukit Antarabangsa, malam ini.

Mereka menaiki dua kereta dari Bukit Aman ke Ibu Pejabat PKR pada jam 10.30 malam dan berada di situ untuk melakukan pemeriksaan kira-kira 20 minit, sebelum dilihat membawa keluar CPU.

Rafizi kemudian dibawa pula ke pejabatnya di Dataran Pandan Prima, Pandan Jaya, kira-kira jam 11.20 malam dan mereka berada di sana kira-kira 20 minit.

Selesai menjalankan pemeriksaan di pejabatnya, Naib Presiden PKR itu kemudian dibawa ke kediamannya di Bukit Antarabangsa.

Terdahulu, kira-kira 30 orang penyokongnya berkumpul di luar pintu masuk Bukit Aman di sini sejak jam 9 malam bagi menuntut polis membebaskan Rafizi.

Naib Presiden PKR itu ditahan jam 6.05 petang sejurus keluar Bangunan Parlimen mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 kerana membuat kenyataan media berhubung Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan mengaitkannya dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).