Laporan PAC Dapati PM Tidak Terlibat Secara Langsung Isu 1MDB

KUALA LUMPUR, 7 April – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah meneliti semua bukti berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mendapati Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak terlibat secara langsung dalam isu membabitkan syarikat berkenaan.

image

Naib Pengerusi PAC, Tan Seng Giaw berkata nama Perdana Menteri hanya disebut semasa siasatan bersama lembaga penasihat 1MDB kerana Najib merupakan pengerusi lmbaga berkenaan.

“Kita mengkaji semua ini, kita nampak dia tidak terlibat secara langsung, cuma namanya disebut semasa siasatan bersama lembaga penasihat kerana dia (Najib) pengerusi, selepas itu tiada. Paling banyak membabitkan pengurusan. Ia adalah kedaultan undang-undang, anda tidak boleh kutuk seseorang sehingga dia didapati bersalah,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Khamis.

PAC yang terdiri daripada anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang pada Khamis mengeluarkan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB.

Laporan PAC berkenaan 1MDB setebal 106 muka surat antaranya mengesyorkan pihak berkuasa supaya menyiasat bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan pihak yang berkaitan.

Menurut PAC, Shahrol Azral perlu bertanggungjawab terhadap kelemahan dankekangan dalam pengurusan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.

Mengulas lanjut mengenai laporan itu, Tan yang juga anggota Parlimen Kepong daripada DAP berkata pihak berkuasa berkaitan perlu bertindak terhadap pihak bertanggungjawab membawa kepada kelemahan dan kekangan syarikat berkenaan seperti yang dicadangkan dalam laporan berkenaan.

“Kita harap dapat cari jawapan di mana kesalahan itu dan siapa benar-benar terlibat dengan perbuatan itu, ini memang harus disiasat,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini Khamis.

Sementara itu, Datuk Razali Ibrahim (BN-Muar) berkata tidak adil untuk melibatkan Najib dalam isu melibatkan syarikat pelaburan strategik negara itu.

“Bagi saya meletakkan PM (Perdana Menteri) sebagai tumpuan utama adalah tidak adil, PM juga terlibat dengan banyak syarikat negara, misalnya hal-hal berkaitan Petronas, dan lain-lain GLC, sebagai menyelia atau memberi pandanganuntuk urus tadbir yang baik.

“Pihak pengurusan adalah bertanggungjawab, mereka ada pengerusi, ada CEO,namun mungkin kerana isu (1MDB) ini dibahaskan secara umum dengan meluas, maka orang hanya fokus pada 1MDB sahaja,” katanya.

Anggota Parlimen Ketereh daripada Barisan Nasional Tan Sri Annuar Musa,  pula berkata pembentangan laporan PAC membuktikan bahawa isu-isu yang menjadi perhatian rakyat telah diambil perhatian.

Sambil menyifatkan PAC melakukan tugas dengan sempurna, Annuar yang jugaPengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkata laporan telus itu akhirnya membetulkan segala maklumat tidak sahih dan tidak benar yang selama ini diperkatakan banyak pihak.

“Laporan ini juga adalah mengenai perkara yang telah lama dibincangkan, yang penting segala perkara yang tidak sahih didedahkan kepada pihak berkepentingan seperti PAC sendiri, Parlimen dan pastinya kepada orang awam,” katanya. – Bernama