Tidak Ada Kesalahan Berlaku Dalam 1MDB – Shahrol Azral

KUALA LUMPUR, 7 April – Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hari ini berkata tiada kesalahan atau aktiviti melanggar undang-undang berlaku dalam syarikat itu ketika di bawah pengawasannya.

image

Dalam kenyataan dikeluarkan di sini, Shahrol Azral berkata ketika penyiasatan dijalankan terhadap syarikat itu, beliau menghadap anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan memberi penjelasan penuh dan secara jujur kepada mereka tentang perkara yang berlaku ketika beliau menjadi CEO 1MDB.

Shahrol Azral juga berkata beliau akan terus memberi kerjasama penuh tentang perkara itu.

“Berikut adalah kenyataan penuh beliau: “Semasa siasatan dijalankan, saya banyak kali hadir di hadapan anggota PACyang dihormati.

“Saya ceritakan sepenuhnya dan dengan jujur semua perkara semasa saya menjadi CEO 1MDB. Seperti yang dijelaskan kepada PAC, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa tiada sebarang perbuatan salah atau aktiviti yang melanggar undang-undang berlaku dalam syarikat itu ketika dalam pengawasan saya.

“Saya akan terus beri kerjasama penuh, yakin dengan sepenuh hati bahawa saya tidak melakukan sebarang kesalahan dan tiada apa yang hendak disembunyikan”.

PAC, dalam Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB yang dibentangkannya di Dewan Rakyat pada Khamis, meminta pihak berkuasa menyiasat Shahrol Azral dan para pegawai lain yang berkenaan.

PAC berkata Shahrol Azral perlu bertanggungjawab bagi kelemahan dan kekangan yang wujud dalam syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu. -Bernama

Advertisements