Debat Tangguh: Abdul Rahman, LGE Bertikam Lidah Di Twitter

PETALING JAYA, 9 April – Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bertikam lidah mengenai debat terbuka isu Taman Manggis di Twitter.

image

Kali ini ia mengenai keputusan Abdul Rahman yang terpaksa berlepas ke luar negara seperti yang dirancang.

Kini debat terbuka itu hanya akan diadakan selepas Abdul Rahman pulang dari lawatannya pada 15 April depan.

“Saya akan berlepas ke luar negara malam ini. Kembali pada 15 (April). Lawatan saya sudah diatur lama. Debat selepas lawatan ini,” kata Menteri Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan itu menerusi Twitternya malam Jumaat.

Lim bagaimanapun membidas tindakan Abdul Rahman dengan mendakwa debat yang dicadangkan itu kini ‘hilang stim’.

“Huh…Apa ini? Debat hilang stim lah. Saya sebelum ini telah memendekkan lawatan ke China hanya untuk bersemuka dengan anda di Parlimen.

“Adakah @mpkotabelud mahu berdebat dengan saya di luar negara? Di mana? Baliklah? Jika saya boleh membatalkan lawatan rasmi ke China untuk bersemuka dengan anda di Parlimen, mengapa tidak anda,” tulis Lim di laman Twitternya.

Dalam reaksi balasnya, Ahli Parlimen Kota Belud itu turut melancarkan beberapa serangan menerusi Twitternya dengan mendakwa Lim tidak berani bersemuka dengan beliau di Parlimen.

Beliau berkata Setiausaha Agung DAP itu bergegas balik dari China kerana isu Taman Manggis semakin panas.

“Bila anda bersemuka dengan saya? Hakikatnya anda terdesak mahu Speaker mengeluarkan anda dari Parlimen. Saya sudah bersedia untuk bersemuka dengan anda!

“Malah saya juga mendesak Speaker supaya tidak mengusir anda kerana saya mahu anda bersemuka dengan saya dalam debat di Parlimen!,” kata Abdul Rahman.

Abdul Rahman turut menjawab kenyataan Lim bahawa debat tersebut sudah ‘hilang stim’ dengan berkata beliau akan mengemukakan soalan untuk debat itu lebih awal supaya ketua menteri berkenaan boleh menyediakan jawapannya.

“You nak stim? Terpulang kepada anda! Memandangkan anda stim sangat, saya akan sediakan soalan lebih awal supaya anda boleh bersedia,” tulisnya.

Malah, Abdul Rahman turut menyindir Lim selepas dimaklumkan bahawa ketua menteri Pulau Pinang itu enggan membahaskan isu pembelian banglo bernilai RM2.8 juta.

“Hmmmm… Saya baru diberitahu kononnya pihak sebelah sana tidak mahu isu banglo Puan Phang dimasukkan dalam perdebatan. Apa pandangan anda?,” soal Abdul Rahman kepada pengikutnya di Twitter.

Advertisements