Polis Thailand Tingkat Tahap Keselamatan

BANGKOK, 10 April – Polis Thailand meningkatkan tahap keselamatan selepas dua lelaki etnik Uighur dari China yang dikaitkan dengan “kumpulan pengganas luar negara” mengunjungi pulau peranginan di sini, kata pegawai kanan hari ini.

image

Ketakutan mengenai serangan militan di Asia Tenggara memuncak sejak kebelakangan ini, terutama selepas militan IS mendakwa melakukan serangan di Jakarta Januari lalu, mengorbankan lapan orang, empat daripadanya penyerang.

Leftenan Jeneral Polis Thailand, Suchart Teerasawat, berkata pada akhir Mac lalu, dua lelaki Uighur mengunjungi Phuket dan menginap semalaman, kemudian meninggalkan Thailand.

“Dua lelaki itu ada kaitan dengan kumpulan pengganas luar negara,” katanya merujuk Phuket sebagai pulau pelancongan terletak di Lautan Hindi.

Suchart berkata, pihaknya tidak memperoleh maklumat siapa lelaki yang ditemui warga Uighur terbabit atau bila mereka pergi ke pulau itu.

“Kami sedang menyiasatnya. Selepas menginap di pulau itu semalaman, mereka menuju ke Malaysia dan Indonesia. Kami difahamkan mereka sudah ditangkap di Indonesia,” katanya.

Suchart berkata pihak berkuasa sedang menyiasat beberapa etnik Chechen susulan laporan minggu lalu bahawa mereka berada di Phuket Khamis lalu.

Menteri Pertahanan Thailand, Prawit Wongsuwa berkata, beliau sudah mengarahkan pengawasan terhadap pelancong Uighur dan Chechen yang berkemungkinan memasuki negara ini menggunakan dokumen perjalanan palsu.

Hujung tahun lalu, dua etnik Uighur China ditahan selepas terbabit dengan pengeboman 17 Ogos tahun lalu di sebuah kuil di ibu kota ini yang mengorbankan 20 orang.

Mereka didakwa atas tuduhan membunuh dan memiliki bahan letupan. – Reuters