Campur Tangan Asing Tak Akan Berjaya Jatuhkan PM – Nazri Aziz

PUTRAJAYA, 11 April – Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yakin usaha menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui campur tangan asing tidak akan berjaya.

image

Sambil mempersoalkan tindakan yang digerakkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu, beliau juga percaya tidak ada apa yang boleh dilakukan pihak luar kepada negara, khasnya dalam menjatuhkan kerajaan.

“…dulu masa beliau (Tun Dr Mahathir) jadi ketua kerajaan, beliau menentang keras sebarang campur tangan asing dalam urusan kerajaan pimpinannya,” katanya mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir yang mahu pihak asing campur tangan dalam usahanya menjatuhkan Najib.

Bercakap pada sidang media selepas menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang kepada 389 warga kementerian itu di sini hari ini, Mohamed Nazri percaya usaha itu lebih kepada memenuhi dendam Tun Dr Mahathir kepada Najib, berbanding kepentingan rakyat, seperti yang didakwanya.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri berkata tindakan kerajaan Sarawak menghalang beberapa individu atau pemimpin parti politik daripada memasuki negeri itu menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN) adalah tepat dalam mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata apa yang penting semua pihak kena hormati perjanjian yang dipersetujui bersama Sarawak dan Sabah semasa mewujudkan Malaysia pada 1963 yang memberikan kelebihan tertentu kepada negeri itu.

“Sudah tentu ada asasnya mengapa kelebihan itu diberikan, malah atas sifat hormat itu, saya menyokong tindakan kerajaan negeri mengharamkan individu-individu yang mereka dapati berpotensi untuk menjejaskan perpaduan kaum di Sarawak,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan anggota Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP dihalang daripada memasuki Sarawak sejurus tiba di Lapangan Terbang Bintulu kira-kira pukul 7.40 malam.

Beberapa pemimpin parti politik juga dilarang memasuki Sarawak baru-baru ini antaranya Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu atau Mat Sabu dan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Nazri berpendapat debat antara Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dengan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan sebagai sesuatu yang tidak perlu dan membuang masa.

Beliau sebaliknya mahu kedua-dua pemimpin itu membiarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung isu pembelian banglo dan penjualan tanah Taman Manggis di Pulau Pinang daripada bertelagah untuk berdebat mengenainya.