Malaysia Antara 10 Destinasi Pelaburan Asing (FDI) Utama Di Asia Pasifik

KUALA LUMPUR, 14 April – Malaysia menduduki ranking 10 destinasi pelaburan langsung asing (FDI) pilihan utama di Asia Pasifik, demikian menurut kajian oleh syarikat teknologi maklumat global yang berpusat di Amerika Syarikat, IHS Inc.

image

Kawasan tumpuan lain FDI di Asia Pasifik ialah China, Indonesia, Vietnam, Filipina, Myanmar, Thailand, India, Sri Lanka dan Bangladesh.

Dalam satu kenyataan hari ini, IHS berkata dalam tempoh sedekad akan datang, Asia Pasifik diunjur menjadi kawasan ekonomi global paling pesat berkembang, dan rantau yang menawarkan potensi keuntungan FDI paling tinggi.

Ketua Ekonomi IHS bagi Asia Pasifik, Rajiv Biswas, berkata Asia Pasifik akan berkembang pada kadar tahunan 4.5 peratus, didorong oleh pertumbuhan pesat dalam perbelanjaan pengguna di China, India dan Asia Tenggara.

Katanya, Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand juga dijangka menyertai negara Asia lain yang mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi AS$1 trilion menjelang 2030.

“Ini akan membantu meningkatkan kedudukan ASEAN yang penting dari segi geografi dan ekonomi dalam diplomasi antarabangsa serta dialog global dalam perdagangan, pelaburan dan penetapan piawaian antarabangsa,” kata Biswas.

IHS berkata, Asia Tenggara dijangkakan menjadi antara rantau paling pesat berkembang di dunia menerusi empat anggota ASEAN berkenaan.

Merujuk Malaysia sebagai bakal ekonomi paling maju di Asia, laporan IHS menyebut ekonomi Malaysia diunjur mencatat KDNK perkapita AS$20,000 menjelang 2025, dengan jumlah KDNK melepasi AS$1 trilion menjelang 2030.

Biswas berkata, struktur ekonomi Malaysia akan terus bergerak ke arah perkhidmatan dan pembuatan bernilai tambah yang tinggi.

“Industri pertumbuhan strategik dalam sektor pertumbuhan meliputi perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan, pendidikan, penerbangan komersial, pelancongan dan industri penyumberan luar proses perniagaan-IT, apabila Malaysia menjadi ekonomi yang semakin penting dalam perkhidmatan serta ekonomi pengeksportan perkhidmatan bagi Asia Tenggara,” katanya. – BERNAMA

Advertisements