Hentikan Semua Tomahan Dan Fitnah Terhadap Najib Razak Berhubung Isu Derma RM2.6 Bilion – Tengku Adnan

PUTRAJAYA, 16 April – Semua tohmahan dan fitnah terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu derma RM2.6 bilion perlu dihentikan segera, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

image

Beliau berkata pengakuan Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir bahawa sumbangan derma kepada Najib itu memang datang dari negara tersebut tanpa mengharapkan sebarang balasan seharusnya menutup terus segala fitnah terhadap Najib.

“Ternyata segala fitnah dan tohmahan yang dibuat kepada Perdana Menteri selama ini tidak berasas, dibuat secara melulu, dan saya menyeru semua pihak tidak lagi melakukan sebarang fitnah berhubung hal itu.

“Kita sedang bergerak menuju negara maju, jadi perbuatan fitnah memfitnah ini perlu dihentikan segera demi kebaikan semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival RODA MANIA 1.0 di sini hari ini.

Selain mengesahkan derma itu datang daripada keluarga diraja Arab Saudi, Adel juga mengakui pihaknya meng­ambil maklum siasatan kes berkenaan oleh Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali.

Siasatan secara terperinci itu mendapati tidak ada sebarang salah laku.

Adel memberitahu wartawan Malaysia demikian selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan Najib di luar Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-13 di Istanbul, semalam.

Tengku Adnan berkata beliau percaya tohmahan terhadap Najib akan terhakis dengan sendiri selepas rakyat didedahkan dengan kebenaran susulan pengakuan menteri Arab Saudi itu.