Penggunaan Bahasa Melayu Di Mahkamah “Ibarat Melepaskan Batuk Di Tangga” – KP DBP

BANGI, 17 April – Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abdul Adzis Abas menegur penggunaan bahasa Melayu dalam mahkamah yang diibaratkannya umpama melepaskan batuk di tangga.

image

Abdul Adzis berkata, walaupun kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan diperuntukkan secara jelas di bawah Perkara 152, Perlembagaan, amalan penggunaannya di mahkamah masih tidak memuaskan kerana dicemari dengan penggunaan bahasa Inggeris.

“Penggunaan bahasa Melayu di mahkamah tidak boleh dipertikaikan seperti diwartakan dalam Perlembagaan.

“Bagaimanapun, ia kurang memuaskan kerana masih terdapat perbicaraan yang dikendalikan dalam bahasa Inggeris dengan alasan kurang istilah atau tiada kamus rujukan dalam bahasa Melayu dalam bidang perundangan,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Perbicaraan Peringkat Kebangsaan 2016 di Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UKM, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Padilah Ali dan Yang Dipertua Majlis Peguam Malaysia (MPM), Steven Thiru.

Sementara itu, Thiru berkata, pertandingan yang julung kali diadakan itu selari dengan matlamat Jawatankuasa Bahasa Melayu (JBM), MPM bagi memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa perundangan.

“Saya menaruh harapan yang tinggi kepada peguam muda, pelatih dalam kamar (chambers) dan pelajar jurusan undang-undang di universiti awam (UA) dan swasta menimba pengalaman daripada pertandingan ini.”

Dalam menjalankan kes, bahasa yang digunakan oleh saksi amat penting.

“Jika saksi ingin bercakap dalam bahasa Melayu, peguam tidak boleh memberikan sebarang alasan untuk menggunakan bahasa selainnya,” katanya.

Pada acara anjuran DBP dengan kerjasama Fakulti Undang-undang UKM itu dua kategori utama dipertandingkan, iaitu Kategori A bagi pelajar pasca siswazah Undang-undang dan Kategori B bagi pelatih dalam kamar serta peguam muda dengan maksimum dua tahun pengalaman.

Kategori A didominasi kumpulan pelajar Universiti Malaya (UM) yang mengungguli tempat pertama dan kedua, manakala tempat ketiga diraih pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Bagi Kategori B pula johan dinobatkan kepada Jawatankuasa Peguam Pahang; tempat kedua, Jawatankuasa Peguam Terengganu dan tempat ketiga Jawatankuasa Peguam Selangor.

Johan bagi setiap kategori menerima wang tunai RM3,000; tempat kedua (RM2,000) dan tempat ketiga (RM500), selain mendapat buku terbitan DBP dan sijil penghargaan.

Pertandingan berkenaan diadakan dengan matlamat memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam bidang kehakiman dan undang-undang dalam negara.

Advertisements