SPRM Kepong Balai Polis Ayer Itam, Tahan Lima Anggota PDRM

KUALA LUMPUR, 17 April – Lima anggota dari Balai Polis Ayer Itam, Pulau Pinang, ditahan dalam serbuan mengejut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, di balai berkenaan awal pagi tadi.

image

Dalam serbuan jam 3.30 pagi itu, sepasukan pegawai SPRM menahan semua anggota terbabit berhubung rasuah selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Semua anggota terbabit ditahan ketika berada dalam bilik Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) selepas SPRM mengepung balai berkenaan.

Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk M Samarajoo, berkata semua lima anggota berkenaan kini masih ditahan untuk siasatan lanjut berhubung maklumat yang diterima.

“Kita tempatkan mereka di lokap SPRM untuk siasatan lanjut dan akan membebaskan mereka dengan jaminan selepas keterangan mereka direkodkan,” katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut butiran siasatan kes yang dilakukan berhubung tangkapan ke atas anggota polis terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghafar Rajab, mengesahkan serbuan itu dan penahanan anggota balai berkenaan oleh SPRM Pulau Pinang.

“Setakat ini saya masih belum mendapat maklumat terperinci berhubung tangkapan ke atas anggota polis ini dan masih menunggu laporan dari SPRM,” katanya.

Advertisements