Guna Media Sosial Tangkis Tuduhan Tidak Berasas Terhadap Kerajaan

image

MIRI, 20 April – Jabatan dan agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) perlu memainkan peranan secara aktif bagi menepis persepsi negatif terhadap kerajaan yang berpunca daripada tuduhan tidak berasas melalui media sosial.

Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KKMM Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor berkata ahli Komuniti 1Malaysia (K1M) juga perlu dilibatkan bersama-sama dengan jabatan dan agensi kementerian bagi menerangkan keadaan sebenar kepada rakyat melalui saluran media sosial, seperti Facebook, Twitter dan Whatapps.

“Kita wajar menggunakan medium tersebut untuk berkongsi maklumat berkaitan pembangunan dan aktiviti kemasyarakatan yang telah dilakukan kerajaan,” katanya pada majlis bersama masyarakat anjuran Jabatan Penerangan di Dewan Kampung Pulau Melayu di sini malam ini.

Turut hadir Ketua Pengarah jabatan itu Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Mohd Ali berkata isu persepsi negatif terhadap kerajaan perlu dipandang serius kerana ia boleh menjejaskan pembangunanan dan perpaduan rakyat.

Beliau juga turut memuji kepimpinan kerajaan Sarawak, yang diterajui Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, yang banyak membawa perubahan positif termasuk menurunkan tarif eletrik, menghapuskan tol, memansuhkan cukai tanah dan menjayakan pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo.