Jadi MP, Senator Bukan Tiket Cakap Sembarangan

image

KUALA LUMPUR, 25 April – Status sebagai Ahli Parlimen dan senator bukan tiket untuk ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk bercakap atau membuat kenyataan sembarangan sehingga berbaur hasutan.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, mereka perlu sedar tindakan sedemikian hanya akan menimbulkan kegelisahan, kemarahan dan memecah-belahkan rakyat.

“Saya bangkitkan perkara ini kerana saya pernah jadi anggota Parlimen suatu ketika dahulu.

“Masa itu tiada masalah menghormati dewan, ada Lim Kit Siang (Penasihat DAP), Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang), mendiang Karpal Singh (bekas pengerusi DAP) dan banyak lagi.

“Tetapi apabila ditegur, mereka hormati, tetapi kenapa sekarang tidak begitu?,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena hari terakhir beliau sebagai Yang Dipertuan Negara di Dewan Negara hari ini.

Abu Zahar, 72, menamatkan perkhidmatannya selama dua penggal sebagai Yang Dipertua Dewan Negara hari ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi kepercayaan kepadanya memegang jawatan berkenaan.

Abu Zahar juga berterima kasih kepada semua anggota Dewan Negara yang memberikan kerjasama sepanjang beliau berkhidmat.

Ketika ditemui Bernama di lobi Parlimen, Abu Zahar berkata, beliau akan terus berbakti kepada bangsa dan negara walaupun menamatkan perkhidmatannya selama dua penggal sebagai Yang Dipertua Dewan Negara hari ini.

Abu Zahar dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-16 pada 26 April 2010 bagi menggantikan Datuk Wong Foon Meng yang tamat perkhidmatan pada 12 April 2010. – Bernama