PRN Sarawak: 226 Calon Bertanding 80 Kerusi DUN

image

KUCHING, 25 April – Seramai 226 calon bertanding merebut 80 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN11) pada 7 Mei ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata Barisan Nasional (BN) akan bertanding di 80 DUN, PKR (40 DUN), DAP (31 DUN), Parti Amanah Negara (13 DUN), PAS (11 DUN), STAR (11 DUN), PBDS Baru (5 DUN) selain 35 calon Bebas turut bertanding.

Sepanjang proses penamaan calon yang berlangsung selama sejam bermula 9 pagi Isnin, sebanyak 230 kertas pencalonan dikemukakan namun, dua calon menang tanpa bertanding dan kertas pencalonan bagi dua calon lain ditolak.

Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Industri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan yang juga Naib Presiden Kanan PBB menang tanpa bertanding untuk kekal menyandang kerusi DUN Bukit Sari.

Datuk Abdul Rahman Ismail juga dari PBB menang tanpa bertanding untuk kekal menyandang kerusi DUN Bukit Kota.
Bercakap pada sidang media di Pejabat SPR Sarawak di sini, Isnin.

Mohd Hashim berkata kertas pencalonan calon PKR bagi DUN Pantai Damai dan calon Bebas di Kuala Rajang ditolak kerana kedua-duanya didapati tidak layak bertanding. – BERNAMA