Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera Kekal Agenda UMNO – Najib Razak

image

PUTRAJAYA, 9 Mei – Sejak UMNO ditubuhkan pada 1946, pemerkasaan ekonomi Bumiputera kekal sebagai satu daripada agenda perjuangan parti demi memastikan masyarakat itu menikmati kehidupan yang lebih baik, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata ini terbukti melalui usaha-usaha pembasmian kemiskinan yang dilakukan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) dan UMNO sejak sekian lama serta memperkenalkan dasar mewujudkan kelas pertengahan yang terdiri daripada golongan profesional.

Malah, katanya kewujudan pelbagai institusi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Tekun Nasional juga merupakan sebahagian daripada perjuangan UMNO memperkasakan ekonomi Bumiputera.

“Saya merasakan banyak yang telah dicapai. Tanpa perjuangan UMNO, tidak mungkin hari ini kita lihat kedudukan orang Melayu lebih baik dan lebih selesa dalam bidang ekonomi.

“Kita sentiasa berusaha untuk melakukan usaha-usaha itu kerana sebab pada saya kelangsungan kuasa politik mesti bersandarkan kepada kuasa ekonomi,” kata Najib yang juga Presiden UMNO ketika ditemuramah bersempena sambutan Ulang Tahun Ke-70 UMNO di pejabatnya baru-baru ini.

Temuramah itu dikendalikan Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara, Prof Dr Azizul Halim Yahya.

Mengambil contoh usaha terbaru, Perdana Menteri menarik perhatian bahawa kerajaan telah mengumumkan dasar ‘Carve Out & Compete’ iaitu pembahagian kira-kira 40 hingga 50 peratus kontrak, vendor atau peluang perniagaan dalam mana-mana projek besar diberikan kepada syarikat-syarikat Bumiputera.

Ditanya sampai bilakah golongan Bumiputera akan terus dibantu, Najib berkata kerajaan tidak menetapkan garis penamat bagi perkara itu.

Menjelas lanjut, beliau berkata dasar-dasar berkaitan boleh dikaji semula apabila kekayaan negara mampu dibahagi secara adil dan saksama kepada semua kaum di negara ini.

“Barangkali pada ketika itu, orang Melayu sendiri begitu yakin bahawa tak perlu lagi kepada apa-apa keistimewaan dari segi dasar. Pada masa itu, mungkin dasar yang kita amalkan boleh kita cairkan atau dikaji semula supaya lebih terbuka.

“Tetapi yang penting sekali kita hendak sampai ke peringkat kekayaan negara … sebab orang Melayu dan Bumiputera, bilangannya adalah 60 peratus lebih. Tetapi yang dituntut cuma 30 peratus (ekuiti) sahaja. Bukan dituntut 60 peratus tapi 30 peratus saja. Maknanya orang Melayu sudah cukup bertimbang rasa dan adil dalam apa yang dituntut dalam perjuangannya,” kata Najib.

Dalam temuramah itu, Perdana Menteri turut ditanya tentang kesan kemelesetan ekonomi global termasuk kejatuhan harga komoditi seperti minyak ke atas Malaysia sehingga imej negara turut diselar media asing.

Beliau berkata Malaysia mampu menangani cabaran berkenaan malah telah mengambil langkah segera dengan melakukan pengubahsuaian ke atas Bajet 2016.

Langkah itu, katanya telah membuatkan pasaran dan agensi-agensi penarafan yakin dengan kemampuan negara untuk menangani cabaran ekonomi yang berpunca daripada persekitaran luaran yang tidak mampu dikawal Malaysia.

“Sebab itulah pada bulan Januari, saya telah bentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 apabila harga minyak jatuh dengan begitu ketara sekali, daripada US$110 setong kepada US$30 lebih.

“Apa yang boleh kita lakukan ialah pengubahsuaian, adaptasi atau adjustment kepada dasar-dasar dalaman untuk mengambil kira keadaan luaran yang berubah dengan begitu mendadak sekali,” katanya. – BERNAMA