Umno Patut Pecat Muhyiddin, Mukhriz – Tengku Adnan

image

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sewajarnya dipecat daripada parti itu.

Bagaimanapun beliau berkata nasib Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno dan Mukhriz selaku bekas menteri besar Kedah hanya akan ditentukan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno akan datang.

Tambah beliau badan tertinggi parti itu sudah menerima laporan daripada Lembaga Disiplin mengenai siasatan terhadap Muhyiddin dan Mukhriz.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir patut dipecat daripada parti. Pada saya, saya sudah singkirkan mereka sejak dahulu lagi.

“Kita sudah buat laporan mengenai Mukhriz dan Muhyiddin, dan kita akan bentangkan di Majlis Tertinggi untuk putuskan kerana Jawatankuasa Disiplin telah menghantar semula keputusan untuk Majlis Tertinggi tentukan.

“Kertas siasatan telah diberikan kepada kita (MT) dan biarlah mereka yang tentukan,” katanya lagi.

Sementara itu ditanya mengenai kedudukan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal bersama parti itu, Tengku Adnan berkata: “Beliau tidak terlalu menyerlah, sepentas bersama pembangkang. Terdapat beberapa masalah tetapi masih ada kelonggaran yang kita masih boleh pertimbangkan.

“Tetapi dua orang ini (Mukhriz dan Muhyiddin) sudah bersama pembangkang, jadi itu kita tidak boleh terima,” katanya.

Advertisements