Perancis Yakin Pada UMNO Dan Pentadbiran Kerajaan, Tolak Persepsi Negatif

image

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Perancis melahirkan keyakinan terhadap UMNO dan kepimpinannya yang diterajui oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam memastikan parti terus bergerak mantap walaupun berdepan dengan pelbagai isu dan persepsi negatif.

Hal ini telah dinyatakan oleh Duta Besar Perancis ke Malaysia H.E. Christophe Penot dalam kunjungan hormatnya kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, di Ibu Pejabat UMNO, hari ini.

chieeeeKatanya, selaku wakil dari kerajaan Perancis tentunya beliau mahukan kepastian berkaitan pelbagai isu semasa termasuklah soal keselamatan dan kedudukan ekonomi Malaysia namun selepas mendapat penjelasan dan berada di sini sendiri maka beliau yakin terhadap keupayaan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Kita yakin dengan UMNO dan BN dalam menerajui negara ini malahan keyakinan tersebut telah membawa lebih 200 syarikat-syarikat dari Perancis untuk melabur di sini dalam pelbagai sektor,” katanya yang telah berada di Malaysia sejak lebih setahun lalu.

Ujarnya, pelbagai persepsi yang wujud berkaitan UMNO dan para pemimpinnya adalah cabaran buat parti namun dengan adanya hubungan akrab antara kerajaan Perancis dan Malaysia maka persepsi terbabit ternyata tidak benar.

“Jika dilihat berkaitan GST dan pengurangan subsidi yang dijadikan isu oleh pihak tertentu untuk menyerang UMNO, maka kami berpandangan ia adalah sesuatu yang tidak wajar.

“Ini kerana GST dan pengurangan subsidi yang dilaksanakan oleh kerajaan sebagaimana negara-negara maju lain adalah antara penjana ekonomi semasa malah negara boleh menjadi bangkrap sekiranya tidak ada kawalan sedemikian,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut melahirkan hasrat untuk mempereratkan hubungan dan saling bertukar-tukar pandangan berkaitan pelbagai perkara yang tentunya akan menguntungkan kedua-dua pihak.

Dalam ucapan balasnya, Tengku Adnan menyambut baik dalam usaha kerjasama yang dijalinkan oleh Penot selaku wakil kerajaan Perancis dan berharap dapat berkongsi pengalaman dalam soal politik pembangunan.

“Sejak dari awal lagi, UMNO tidak pernah jemu dan akan terus berusaha memastikan kesinambungan kedaulatan, kebebasan dan perpaduan di Malaysia walaupun berdepan dengan cabaran dari pelbagai pihak khususnya berkaitan tohmahan yang membentuk persepsi negatif terhadap kerajaan,” katanya.

Sebelum itu beliau telah memberi penerangan berkaitan struktur dan organisasi UMNO dan BN selain memberi penjelasan berkaitan situasi politik semasa di negara ini.