PRK Sungai Besar: Azmin Kecewa PAS Enggan Beri Kerjasama

image

KLANG, 26 Mei – Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali marah dan kecewa kerana PAS enggan bekerjasama dalam strategi kerajaan negeri untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar yang akan datang.

Menurut sumber PKR, kepimpinan tertinggi PAS tetap berdegil walaupun Azmin menjelaskan secara terperinci bahawa kepentingan parti Islam itu akan terus dilindungi.

“Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan PAS tetap akan bertanding walaupun dimaklumkan PKR mempunyai peluang lebih baik untuk memenangi kerusi itu,” kata sumber itu.

Jelas sumber itu lagi, Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad yang berunding dengan Azmin juga gagal meyakinkan Hadi, menyebabkan rundingan tersebut menemui jalan buntu.

Ketika dihubungi, setiausaha politik Azmin, Mat Shuhaimi Shafiei bagaimanapun yakin ia akan diselesaikan kerana masih ada masa sebelum hari penamaan calon pada 5 Jun ini.

Kerusi Parlimen Sungai Besar kosong selepas penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon terbunuh dalam nahas helikopter terhempas di Sarawak pada 5 Mei lalu.

Kawasan parlimen itu mempunyai 33 peratus pengundi Cina manakala 1.9 peratus lagi pengundi India.