PRK Bukan Penanda Aras Kepimpinan Negara – Najib Razak

image

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak boleh dijadikan penanda aras untuk kepimpinan nasional, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, PRK melibatkan banyak faktor di peringkat tempatan berbanding pilihan raya umum.

“Saya fikir dua PRK ini tidak boleh dijadikan ukuran untuk kepimpinan nasional.

“Tetapi orang selalu anggap begitu, cenderung melihat begitu. PRK adalah pilihan raya yang bersandarkan banyak sentimen tempatan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini, Jumaat.

Najib yang juga Presiden Umno bagaimanapun berkata parti itu tidak boleh mengambil mudah dua PRK ini yang akan diadakan pada 18 Jun ini.

Tambahnya momentum kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya di Sarawak baru-baru ini diharapkan dapat dikekalkan dalam kedua-dua PRK itu.

“Kita harap boleh menang majoriti lebih besar, kita tak ambil mudah. Kita kena kerja keras dalam pasukan dan fokus dalam usaha mencatat keputusan terbaik,” katanya.

Najib turut mengumumkan Datuk Seri Noh Omar dan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai Pengarah Pilihan Raya, masing-masing di Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Advertisements