CoC Kaedah Terbaik Selesai Isu Laut China Selatan

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Mematuhi dan komited untuk memuktamadkan Kod Tata Laku (CoC) pihak yang membuat tuntutan dalam pertikaian wilayah Laut China Selatan tetap merupakan kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah yang telah lama wujud di wilayah itu, kata seorang pakar.

image

Pengarah eksekutif Pusat Pengajian Antarabangsa Lanjutan (SAIS), John Hopkins University, Washington DC, Dr Carla Park Freeman berkata, malah, penggubalan dokumen berkenaan perlu dipercepatkan bagi mencegah ketegangan sedia ada daripada bertukar menjadi satu sengketa dahsyat.

Menurutnya, negara yang membuat tuntutan – Brunei, Malaysia, Filipina, Vietnam, China dan Taiwan perlu menetapkan tempoh masa bagi menyiapkan CoC itu.

Penggubalan CoC susulan kepada Deklarasi Tata Laku (DoC) Pihak-pihak di Laut China Selatan itu, yang ditandatangani pada 2002 oleh 10 negara anggota ASEAN terdiri daripada Brunei, Kemboja, Laos, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Thailand, Filipina, Singapura dan Vietnam di samping China, belum mencapai banyak kemajuan setakat ini.

DoC itu, antara lain, bertujuan memupuk persekitaran aman, mesra dan harmoni di Laut China Selatan antara ASEAN dan China ke arah meningkatkan keamanan, kestabilan, pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran di rantau ini.

Ia juga menggariskan hasrat 11 negara yang menandatanganinya untuk meningkatkan suasana baik ke arah menyelesaikan perbezaan pendapat dan menyelesaikan pertikaian secara aman dan berkekalan dalam kalangan negara terbabit.

Dr Freeman, pakar dalam bidang Pengajian China, berkata keputusan Filipina untuk meneruskan tuntutannya terhadap China di Tribunal Timbangtara, menyulitkan lagi keadaan.

Dalam temu bual dengan Bernama ketika beliau melakukan lawatan kerja ke sini, Dr Freeman berkata malah, China mungkin menarik diri daripada rundingan CoC sebagai bantahannya terhadap proses timbangtara itu.

“Sesungguhnya, penimbangtaraan adalah kaedah yang baik, tetapi selagi negara seperti China, yang membuat banyak tuntutan, tidak bersedia menerima penimbangtaraan antarabangsa, maka perbincangan akan menjadi semakin rumit.

“Kebimbangan saya ialah sekiranya penimbangtaraan diadakan, China akan segera menghentikan proses rundingan dan menyekat kemajuan CoC. Negara itu tidak akan lagi menyertainya,” katanya.

Menurut Dr Freeman, sekiranya keputusan penimbangtaraan itu menyebelahi Filipina, ia akan mewujudkan suatu duluan untuk menjadi ikutan negara lain yang membuat tuntutan.

Menurutnya, pada waktu sama, negara Asean yang membuat tuntutan, perlu berusaha

menyelesaikan pertikaian itu antara sesama mereka sebelum menuju ke meja rundingan bersama China kerana ini akan membolehkan mereka mempunyi kedudukan lebih koheren dan bersatu dalam menghadapi kuasa besar.

Katanya, perkara ini menjadi lebih penting kerana bukan semua negara anggota Asean sehaluan dengan negara yang membuat tuntutan berhubung perkara yang menjadi pokok perbalahan.

“Bagaimanapun, sekiranya Asean mempunyai strategi dan koheren dalam pendirian mereka, maka hasil yang dicapai kelak akan lebih baik bagi semua pihak,” katanya.

Mengenai kedudukan Amerika Syarikat, beliau berkata negara itu kekal dengan pendiriannya yang ingin melihat kebebasan pelayaran dan laluan di perairan berkenaan mengikut undang-undang antarabangsa, sentiasa terpelihara.

“Saya berpendapat bahawa Amerika merasakan ia bertanggungjawab menggesa agar pertikaian ini diselesaikan secara aman dan kebebasan untuk melakukan pelayaran di kawasan itu sentiasa terpelihara.

“Ia juga ingin memberitahu China secara jelas bahawa Laut China Selatan adalah perairan antarabangsa yang bukan sahaja  menjadi laluan kapal komersialnya, tetapi juga kapal perangnya,” kata beliau bagi merujuk kepada peningkatan kehadiran kapal tentera laut Amerika di kawasan berkenaan. – Bernama