PRK Kuala Kangsar: Hormati Perasaan Keluarga Bekas Ahli Parlimen

image

KUALA KANGSAR, 30 Mei – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta semua pihak supaya menghormati perasaan anggota keluarga Allahyarham Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar bulan depan.

Setiausahanya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, ini kerana kekosongan kerusi Parlimen itu disebabkan tragedi yang meragut nyawa.

“Kita perlu ingat bahawa kekosongan kerusi ini disebabkan peristiwa (nahas helikopter), bukan satu keadaan yang biasa…kena ambil iktibar, hormati keluarganya dan perlu menghormati masyarakat di Kuala Kangsar ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Bersama Ketua-Ketua Jabatan sempena PRK berkenaan di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar di sini, hari ini.

PRK Kuala Kangsar diadakan pada 18 Jun ini setelah Wan Mohammad Khair-il Anuar yang juga Anggota Parlimen kawasan itu, terkorban dalam nahas helikopter di Sebuayu, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Dalam pada itu, Abdul Ghani meminta parti-parti politik yang bertanding pada PRK itu supaya menghormati Ramadan dengan berkempen secara berhemah dan setia kawan supaya proses kempen dan pengundian itu menjadi antara yang terbaik di negara ini.

Beliau turut meminta semua penyokong parti-parti politik supaya tidak menimbulkan provokasi, fitnah kepada pihak lain dan menyentuh sensitiviti sepanjang kempen PRK itu.

“Kesemua penyokong parti politik perlu mematuhi dan mengamalkan etika kempen sehingga 18 Jun ini bagi menjamin sebuah pilihan raya yang besih dan lancar,” katanya sambil meminta mereka tidak membangkitkan provokasi terhadap masyarakat setempat.

Balu Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid dinamakan sebagai calon BN manakala Pas mengumumkan Ketua Muslimat Pas Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad sebagai calonnya dalam PRK Kuala Kangsar.

Sementara itu, Parti Amanah Negara akan mengumumkan calonnya pada Khamis ini. – Bernama

Advertisements