Makanan Boleh Pengaruhi Tingkah Laku Dan Minda Kanak-kanak

image

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Makanan yang mengandungi kandungan garam, gula, lemak dan karbohidrat terlalu tinggi boleh menjadikan kanak-kanak sama ada terlalu aktif ataupun sebaliknya, menurut seorang pakar pemakanan.

Pensyarah Kanan Jabatan Pemakanan dan Dietetik Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor, Dr Norazmir Md Nor berkata kebiasaannya makanan yang diproses, diawet serta mengandungi bahan perisa tambahan seperti monosodium glutamate (MSG) mengandungi kadar garam, gula, lemak dan karbohidrat yang tinggi.

“Jika dibiarkan kanak-kanak makan, makanan tersebut boleh mempengaruhi tingkah laku dan pembentukan minda mereka.

“Setiap makanan bukan sahaja bakal memberikan kesan positif atau negatif kepada tubuh badan, malah mempengaruhi tahap kesihatan, tingkah laku dan kemahiran berfikir seseorang kanak-kanak,” katanya kepada Bernama.

Beliau memberikan beberapa contoh termasuk susu segar yang mengandungi sumber kalsium dan mineral yang baik untuk kesihatan gigi, madu yang dipercayai baik untuk meredakan batuk dan lelah selain mengekalkan kecergasan tubuh badan, manakala kismis pula mempunyai kandungan gula semulajadi mampu memberi tenaga yang konsisten kepada kanak-kanak serta mampu merangsang minda kanak-kanak.

MAKANAN SEIMBANG

Mengulas lanjut, beliau berkata pengambilan makanan yang diproses, diawet serta mengandungi perisa tambahan dan pewarna tiruan akan memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan kanak-kanak kerana makanan tersebut tanpa nutrien dan vitamin, justeru tidak berkhasiat untuk membantu tumbesaran kanak-kanak.

Sehubungan itu, Norazmir berkata pendedahan mengenai amalan pemakanan sihat dan seimbang perlu diberikan sejak di awal usia kanak-kanak.

“Pada masa sama usaha berterusan juga perlu dilakukan dalam memupuk dan meningkatkan kesedaran masyarakat terutamanya golongan ibu bapa mengenai amalan pemakanan keluarga.

“Pemakanan seimbang merujuk kepada amalan pengambilan makanan yang kaya nutrien, vitamin dan mineral yang mencukupi untuk keperluan tubuh badan, malah setiap hidangan makanan sepatutnya mengikuti Panduan Piramid Makanan Malaysia,” jelas beliau.

Beliau seterusnya menyarankan agar ibu bapa dan penjaga kanak-kanak lebih kreatif ketika menyajikan makanan dengan mempelbagaikan warna dan cara hidangan terutamanya untuk anak-anak.

Jika anak-anak tidak gemar makan buah-buahan serta sayur-sayuran kata beliau, hidangan jus buah-buahan adalah antara kaedah berkesan bagi memastikan mereka mendapat pelbagai khasiat buah-buahan.

KIRA KALORI

Norazmir berkata buah-buahan dan sayur-sayuran yang dihidang berupa karakter kartun, haiwan atau pelbagai unsur yang digemari mampu menarik perhatian dan seterusnya membuka selera kanak-kanak.

“Selain itu, penggunaan kata-kata indah juga merupakan kaedah berkesan, contohnya ibu bapa boleh terangkan bahawa jika ingin memiliki mata yang cantik seperti arnab, mereka perlu makan lobak merah, atau jika ingin tubuh kuat seperti Popeye pula, perlulah makan sayur bayam.

“Malah kata-kata motivasi seperti “sebiji epal setiap hari, cukup untuk menjauhkan diri daripada doktor” (An apple a day keeps the doctor away) boleh menjadi perangsang kepada anak-anak,” katanya.

Norazmir berkata, untuk mengawal masalah kesihatan kanak-kanak seperti penyakit berkaitan obesiti dan kegemukan, ibu bapa boleh menggunakan aplikasi telefon pintar untuk mengira kandungan kalori dan nutrien sesuatu hidangan. Terdapat juga aplikasi senaman untuk kiraan masa dan jarak larian bagi tujuan membakar kalori tubuh.

“Kesemua pengiraan itu penting agar dapat melindungi generasi muda daripada pelbagai penyakit berbahaya kerana jika tidak kawal pemakanan, risiko mendapat penyakit adalah lebih mudah,” katanya.

PROSES SENDIRI

Sementara itu, Norlaili Lott, 37, yang sependapat dengan Norazmir berkata memasak makanan dari rumah atau memproses sendiri makanan untuk dibekukan lebih selamat dan bersih berbanding membeli makanan dari luar.

Beliau yang merupakan tenaga pengajar di Universiti Kuala Lumpur Malaysia Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), Dengkil, Selangor berkata walaupun proses penyediaan sendiri makanan tidak mudah namun memberi kepuasan diri dan lebih baik untuk keluarga.

“Memang ada kelainan kalau kita memasak atau memproses sendiri makanan…contohnya, kita boleh menyediakan daging burger dengan menggunakan bahan-bahan mengikut cita rasa sendiri. Paling bagus, kita boleh mengawal jumlah garam dan gula dalam masakan dan kebersihan terjamin.

“Setakat ini saya sudah cuba membuat daging burger (burger patty) dan dibekukan, rasanya sangat sedap dan jauh berbeza daripada yang dibeli dari kedai mahupun pasaraya,” katanya.

Norlaili yang merupakan ibu kepada dua anak berusia tiga tahun dan enam bulan berkata untuk memastikan anak-anak mendapat zat yang mencukupi, ibu bapa perlu bijak mengawal dan memastikan jenis makanan untuk anak-anak adalah berkualiti dan menyihatkan.