Dr Rani Muncul Di Majlis Azmin Bersama Pakatan Harapan

image

SUNGAI BESAR, 14 Jun – Kehadiran calon PAS, Dr Abdul Rani Osman pada majlis berbuka puasa anjuran Pakatan Harapan di sini, Selasa malam menarik perhatian ramai.

Dr Rani yang tiba di perkarangan Dewan Kampung Hala Cara Baru, Pasir Panjang kira-kira pukul 6.40 petang mengejutkan pihak media dan tetamu yang sedang menunggu kehadiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ahli Dewan Undangan (Adun) Meru itu ketika diserbu pihak media berkata, kedatangannya di Majlis Iftar Perdana Bersama Menteri Besar itu menunjukkan amalan ‘politik matang’.

“Pagi tadi saya bersama calon Barisan Nasional (BN) Budiman Mohd Zohdi dan sekarang saya bersama calon Pakatan Harapan pula.

“Ini saya katakan sebagai politik matang,” katanya kepada pemberita. Kira-kira 10 minit kemudian, Azmin tiba bersama calon Parti Amanah Negara (Amanah), Azhar Ab Shukur sebelum bergerak dan kemudiannya mereka duduk di meja makan yang sama untuk berbuka puasa.

Azmin dalam ucapannya menegaskan bahawa beliau menyokong Azhar setelah mengadakan perbincangan panjang.

“Saya percaya latar belakang keluarganya, kredibiliti, hubungan kekeluargaannya boleh memberi suara yang kuat dan lantang untuk mengangkat martabat rakyat di Parlimen.

“Kepada Dr Rani jangan bersedih. Kita bersahabat dalam Dewan Undangan Negeri. Beliau telah banyak beri sokongan kepada dasar-dasar kerajaan negeri sejak 2008 lagi.

“Saya doakan dia terus maju untuk sama-sama dalam satu tekad, kezaliaman di Putrajaya kena diruntuhkan tanpa mengira latar belakang politik,” katanya.

Advertisements