Kemenangan BN Bukti Penerimaan Rakyat Terhadap Kepimpinan Najib – Annuar Musa

image

KUALA KANGSAR, 18 Jun – Kemenangan Barisan Nasional (BN) di pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar, bukti penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata kemenangan itu akan menjadi pendorong untuk BN membela rakyat serta konsisten dalam perjuangannya.

“BN adalah satu formula politik untuk rakyat Malaysia keseluruhannya secara konsisten….dan inilah perkara yang gagal disaingi oleh calon-calon dari parti lain.

“Kemenangan ini juga merupakan isyarat rakyat mahu terus bergerak maju di bawah kepimpinan calon BN,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan PRK Kuala Kangsar di sini, malam ini.

Bagaimanapun, Annuar berkata kemenangan tersebut tidak akan melalaikan jentera BN untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kemenangan BN bukti kematangan pengundi Kuala Kangsar yang mahukan politik pembangunan di kawasan tersebut diteruskan.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata kemenangan BN di kedua-dua PRK boleh diumpamakan sebagai keputusan mahkamah rakyat untuk BN menjadi pilihan utama pengundi.

Malah, katanya peningkatan sokongan kepada BN telah diterjemahkan dalam bentuk majoriti yang lebih besar.

“Kejayaan di Kuala Kangsar dan Sungai Besar adalah kesinambungan kepercayaan rakyat terhadap pelan pembangunan berterusan yang akan dilaksanakan kerajaan BN,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau menarik perhatian bahawa cabaran berpuasa, faktor calon tidak boleh keluar berkempen dan kempen provokasi parti pembangkang tidak melemahkan semangat jentera Wanita BN.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Mohd Jamil Shafie berkata kemenangan BN merupakan hadiah bernilai kepada perdana menteri yang menunjukkan rakyat terus mahukan Najib terus memimpin negara.

“Ia juga hasil sokongan daripada kepimpinan BN pusat dan negeri serta Bahagian Kuala Kangsar yang secara konsisten terus berusaha dalam kempen PRK kali ini,” kata Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong itu.

ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman pula berkata kemenangan itu merupakan petanda penduduk Kuala Kangsar yakin dengan rekod baik yang dimiliki oleh BN.

Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong mengucapkan terima kasih kepada pengundi Cina kerana banyak kawasan yang dahulunya dimenangi oleh pembangkang telah ditawan semula oleh BN.

“Ini menunjukkan kerjasama kukuh daripada semua parti komponen dalam meraih keyakinan semula kaum Cina terhadap BN,” katanya.

Calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid menang dengan majoriti 6,969 undi apabila mengalahkan calon PAS, Amanah dan Bebas untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Kangsar yang dimenangi suaminya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), pada 2013.

Advertisements