Shafie Apdal Umum Keluar UMNO

PETALING JAYA, 4 Julai – Naib Presiden Umno, Datuk Mohd Shafie Apdal mengumumkan keluar parti itu berkuatkuasa serta merta.

Tindakan itu diambil bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu susulan keputusan Majlis Tertinggi Umno menggantung keahliannya minggu lalu.

Pengumuman itu dibuat di hadapan ribuan penyokongnya yang berada di dewan dan pekarangan kediamannya di Kampung Bubul Lama, Semporna, Sabah.

“Perjuangan kita akan diteruskan di Sabah dan di semenanjung untuk membela bangsa dan negara,” katanya yang juga Ketua Umno Bahagian Semporna.

Sebelum ini, Shafie memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan MT Umno itu sebaik pulang dari mengerjakan umrah, bagaimanapun ia ditangguhkan sehingga beliau pulang ke kampung halamannya.

Selain hukuman terhadap Shafie, MT Umno telah memecat Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beberapa bulan lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga telah mengumumkan untuk keluar Umno.