Pas Simpati Semua Mangsa Tragedi Rampasan Kuasa

SHAH ALAM, 17 Julai – Pas melahirkan rasa simpati dan merakamkan ucapan takziah kepada semua mangsa yang terlibat dalam tragedi rampasan kuasa melanda Turki, Jumaat lalu.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya menyokong kepimpinan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan untuk memperkukuhkan demokrasi dan kuasa rakyat.

Beliau juga mendoakan Erdogan agar dapat terus memimpin Turki dengan cemerlang.

“Pas mengutuk cubaan rampasan kuasa oleh segelintir anggota tentera untuk menjatuhkan kerajaan Turki yang dipilih secara sah melalui proses demokrasi pimpinan AK Party.

“Pas merakamkan ucapan simpati dan takziah kepada semua mangsa yang terlibat dalam tragedi rampasan kuasa ini, ahli keluarga, pemimpin dan seluruh rakyat Turki,” katanya dalam satu kenyataan.

Jumaat lalu, dunia dikejutkan dengan usaha sekumpulan tentera membuat rampasan kuasa di Turki ketika Erdogan sedang bercuti dan insiden itu meragut nyawa hampir 200 orang awam dan pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Abdul Hadi yang juga Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia berkata, Pas berdiri teguh bersama hasrat rakyat Turki yang telah memilih kerajaan melalui proses demokrasi yang sah.

“Pas menggesa semua pihak di Turki untuk menghormati dan mendukung proses demokrasi, bertindak mengikut lunas undang-undang dan tidak bertindak sehingga menimbulkan keadaan huru-hara.

“Pas juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk kita sama-sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Turki dan rakyat Malaysia yang berada di Turki,” katanya.

Advertisements