Ramai Bekas Ahli Umno Rayu Kembali Sertai Parti – Tengku Adnan

PETALING JAYA, 13 Sept – Ramai bekas ahli Umno yang merayu untuk dibenarkan kembali menyertai parti itu, kata Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa terdapat ketua Umno bahagian dari Kedah merancang untuk meninggalkan parti.

“Dia (Mukhriz) kata ada yang mahu keluar, tetapi mereka yang kita pecat juga mahu kembali kepada kita,” kata Setiausaha Agung Umno itu kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidiladha di Putrajaya, Isnin.

Ditanya sekiranya beliau mempunyai nama-nama mereka yang mahu kembali menyertai Umno, Tengku Adnan berkata “terlalu ramai yang merayu”.

“Saya tidak mempunyai senarai tetapi lain kali, saya boleh sediakan senarai – mereka yang merayu, mereka yang kata tindakan tidak adil dikenakan ke atas mereka,” kata Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.

Mengenai Pengerusi Tetap Umno Bahagian Gelang Patah, Datuk Baharom Abdul Ghani dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kulai, Datuk Tosrin Jarvanti yang bertindak keluar parti, Tengku Adnan berkata, adalah lebih baik mereka berbuat demikian.

“Baharom dan Jarvanti adalah ahli parti yang sangat kontroversi.

“Adalah lebih baik mereka keluar parti daripada menjadi duri dalam daging.

“Jadi tiada masalah bagi mereka berdua keluar parti. Biarkan mereka pergi,” katanya.

Pada Sabtu, Baharom mengumumkan beliau keluar Umno berikutan tiada keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi parti.

Tosrin turut mengumumkan keputusannya keluar Umno pada hari sama.