MIC Perlu Bijak Urus Persepsi Negatif

subramaniam-mic

SHAH ALAM, 29 Sept – MIC perlu bijak mengurus persepsi negatif yang cuba ditimbulkan sesetengah pihak supaya rakyat mengetahui kedudukan sebenar berhubung sesuatu isu, kata presidennya Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata semua pihak harus menerima hakikat bahawa dalam konteks politik semasa, persepsi telah menjadi senjata utama pihak lawan dalam mempengaruhi minda rakyat dan terbukti berkesan terutamanya pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008.

“Kita mesti melabur banyak dalam mengurus persepsi (negatif) bagi menjamin kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14,” katanya ketika berucap pada majlis ulang tahun ke-70 Badan Perhubungan MIC Selangor, di sini malam ini.

Hadir sama Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Dr Subramaniam mengambil contoh bagaimana pembangkang mencipta persepsi hingga mereka berjaya meraih sokongan masyarakat India semasa pilihan raya 2008 dengan memainkan sentimen rakyat berhubung isu merobohkan kuil Hindu di Padang Jawa.

Justeru, katanya, masyarakat India mula bertindak mengikut emosi dan terpengaruh dengan dakyah mereka sehingga mengakibatkan tsunami politik pada pilihan raya umum pada 2008.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, berkata BN perlu menyediakan rantaian dan institusi yang mencukupi bagi menjelaskan pelbagai persoalan yang ditimbulkan di kawasan perbandaran.

“Masalah dalam kawasan perbandaran dan isu di kampung sangat berbeza. Meskipun BN sediakan institusi mencukupi bagi menjawab soalan di kawasan desa tetapi isu kemiskinan di bandar, kita tidak mempunyai rantaian dan institusi mencukupi untuk menjawabnya,” katanya.

Advertisements