Himpunan Jalanan Tidak Mampu Untuk Tumbangkan Kerajaan Sedia Ada Di Negara Ini

Bersih.JPG

SHAH ALAM, 8 Okt – Tindakan NGO pro pembangkang yang bercadang untuk menganjurkan perhimpunan BERSIH5 di setiap negeri tidak akan membawa sebarang kebaikan dan perubahan pada negara, namun ia nya hanya dilihat membantu DAP, PKR dan AMANAH mempercepatkan jalan mereka untuk ke Putrajaya.

Penganjuran himpunan itu kelihatan sama seperti perhimpunan lain yang dianjurkan oleh pembangkang sebelum ini malah ia juga turut mengingatkan kembali peristiwa demonstrasi reformasi jalanan yang diusahakan oleh kumpulan pro bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Usaha bagi menyelamatkan Malaysia tidak boleh dilakukan secara jalanan memandangkan ia akan memberikan kesan yang amat buruk terhadap rakyat di negara ini pada masa hadapan selain dapat merosakan jati diri rakyat pelbilang kaum yang telah sekian lama wujud sejak berabad lamanya.

Idea bagi melaksanakan himpunan jalanan ini dipercayai tercetus berikutan daripada ada di antara tokoh politik yang terikut-ikut dengan agenda ‘Arab Springs’ dan mahukan ia turut direalisasikan di negara ini dengan bertujuan untuk merampas sistem demokrasi yang diamalkan oleh kerajaan memerintah pada hari ini.

Secara teknikalnya, himpunan jalanan yang diadakan oleh pihak pro pembangkang ini tidak menjejaskan mandat yang diperolehi BN serta status Najib Razak sebagai Perdana Menteri juga tidak terjejas selagi mana anggota majoriti lebih dari 111 ahli Dewan Rakyat menyokong beliau.

Ia merupakan mandat yang telah diamanahkan oleh seluruh rakyat di negara ini melalui proses pilihan raya umum yang lalu dan melalui Parlimen juga ia boleh dirombak dan bukannya melalui protes di jalanan seperti mana yang dilakukan oleh BERSIH ketika ini.

Penganjuran himpunan jalanan tersebut juga dilihat tidak akan mempercepatkan proses PRU selepas ini memandangkan hak untuk membubarkan sesebuah parlimen merupakan hak khusus Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Di Malaysia, kuasa Parlimen adalah kuasa unggul dalam pemerintahan dan bukannya seperti yang berlaku di Indonesia, Thailand serta negara-negara lain.

Jalanan bukan institusi yang boleh menentukan siapa peneraju kerajaan dan negara. Demonstrasi seperti ini juga bakal menjadi pentas bagi menaikkan nama Anwar dan menuntut pembebasannya dengan cara yang tidak demokratik.