Gerakan Perlu Lebih Ramai Pemimpin Berani Perjuang Isu Rakyat – Mah Siew Keong

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Pemimpin dan anggota Gerakan perlu lebih berani dalam menyuarakan isu rakyat di kawasan masing-masing tanpa takut dengan sebarang ancaman dan kecaman terutama daripada pembangkang.

Ketika membuat gesaan itu, presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata parti komponen Barisan Nasional (BN) itu memerlukan individu yang berani memperjuangkan sebarang isu yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Kita mesti berani lawan. Saya dengar saudara Jason Loo (pemangku Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang), dia telah dikenakan tindakan mahkamah sebab dia berani cakap isu-isu penduduk di Pulau Pinang.

“Kami memerlukan lebih banyak pemimpin yang berani bersuara dengan apa yang berlaku di Pulau Pinang (pimpinan DAP) dan juga di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-45, di sini hari ini.

Beliau berkata parti itu juga sentiasa menyokong generasi muda yang aktif menyuarakan masalah rakyat.

Menyentuh calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, Mah, yang juga Anggota Parlimen Teluk Intan, berkata anggota parti harus memberi sokongan kepada calon yang terpilih kerana diyakini berkeupayaan meraih kemenangan.

“Kita tahu kita ada ramai calon yang layak…tetapi saya rayu untuk kebaikan parti kita bantu calon yang telah dipilih untuk pastikan kemenangan kita,” katanya.

Persidangan dua hari itu meluluskan 16 resolusi merangkumi pelbagai isu antaranya berkaitan kenegaraan, tadbir urus dan penguatkuasaan yang baik dalam entiti sektor awam, pendidikan, kos sara hidup, keganasan, alam sekitar dan ekonomi.

Ia turut menggesa kerajaan meneruskan rasionalisasi subsidi dalam menangani kebimbangan rakyat mengenai kos sara hidup serta peningkatan pendapatan yang tidak seimbang selain meningkatkan jumlah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk memastikan keadilan sosial.

Mengenai Bajet 2017 yang dijadual dibentangkan 21 Okt ini, resolusi itu berharap kerajaan dapat melaksanakannya dengan berhemah dan meneruskan komitmen pengukuhan fiskal selain mengamalkan dasar kewangan yang sesuai untuk mendepani ketidakpastian dan cabaran.

Resolusi itu meminta kerajaan memberi perhatian serius dalam membendung kegiatan keganasan Daesh serta isu ekstremisme tempatan berpunca daripada kegiatan fanatik dan pelampau agama.

Isu berkaitan pendidikan turut disentuh resolusi itu yang mahu bidang pendidikan tidak dipolitikkan, sebaliknya menggalakkan kecemerlangan, memanfaatkan potensi belia bagi tujuan menyatupadukan dan bukan memecah-belahkan.

Persidangan dua hari bermula semalam dengan tema ‘Bersatu Demi Kemajuan dan Kemakmuran’ itu dihadiri lebih 1,200 perwakilan dari seluruh negara. – Bernama

Advertisements