Statistik Masalah Kesihatan Mental Dan Kemurungan Di Malaysia

girl_sad_l2-600x360

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Secara global, seramai 450 juta individu di seluruh dunia mengalami gangguan mental, di mana gangguan mental, penyakit neurologi dan penyalahgunaan substans adalah menyumbang kepada 13% daripada beban penyakit global.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO menganggarkan 1 dalam 4 individu mengalami gangguan mental pada satu-satu ketika dalam kehidupan mereka.

Manakala, penyakit kemurungan (depression) menyumbang sebanyak 4.3% daripada beban penyakit gobal keseluruhan di mana ianya merupakan salah satu penyebab terbesar morbiditi.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang telah dilaksanakan pada tahun 2015 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati prevalen masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas adalah 29.2% (anggaran 4.2 juta).

Ini bermaksud 1 dalam 3 masyarakat Malaysia mengalami isu yang berkait dengan masalah mental. Kajian ini turut menunjukkan bahawa prevalen masalah kesihatan mental juga adalah paling tinggi dalam kalangan mereka yang berumur 16-19 tahun dan di kalangan golongan yang berpendapatan rendah.

Masalah kesihatan mental boleh dilihat berlaku kepada sesiapa sahaja sepanjang kehidupan mereka.

Antara faktor-faktor yang mungkin menyumbang kepada kenaikan 2 kali ganda prevalen masalah kesihatan mental sepanjang 10 tahun yang lepas (10.6% pada tahun 1996; 11.2% pada tahun 2006) adalah masalah atau krisis kewangan, tiada pekerjaan, stres pekerjaan, isu dan permasalahan keluarga seperti masalah hubungan, penceraian, kurang kemahiran keibubapaan, keganasan, penyalahgunaan substans dan faktor persekitaran.

Selain itu, faktor-faktor ini sekiranya ditambah pula dengan kurang kemahiran daya tindak (poor coping skill) dan kurang sokongan sosial akan lebih memburukkan status kesihatan mental seseorang.

Walaupun kerajaan ada menyediakan perkhidmatan dan rawatan kesihatan mental, namun seseorang yang mengalami masalah kesihatan mental atau gangguan mental seperti kemurungan lazimnya tidak tampil mendapatkan bantuan disebabkan oleh pelbagai faktor, misalnya stigma sosial dan kepercayaan terhadap sesuatu pegangan.

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia amat peka dan prihatin terhadap peningkatan permasalahan mental hasil daripada kajian ini.

Buat masa ini, KKM telah pun melaksanakan pelbagai strategi pencegahan termasuklah kempen-kempen promosi kesihatan mental, saringan dan intervensi di peringkat kesihatan primer, program yang memperkasakan masyarakat untuk menangani stres dan juga melaksanakan bantuan asas psikologi semasa krisis.

Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia juga berkolaborasi dengan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melaksanakan Program Minda Sihat Sekolah di semua sekolah menengah seluruh Malaysia.

Dari aspek rawatan dan rehabilitasi, terdapat 48 buah Hospital KKM dan 4 institusi mental yang memberikan perkhidmatan psikiatri, sementara 671 buah klinik kesihatan dan 20 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat turut memberi perkhidmatan saringan dan intervensi bagi membantu mereka yang mengalami masalah kesihatan mental.

Pihak Kerajaan sedar bahawa strategi yang sedia ada ini perlulah dipertingkatkan terutama dari aspek kerjasama intersektoral antara agensi.

Kementerian Kesihatan Malaysia akan bekerjasama dengan pelbagai agensi atau pihak yang mewakili kumpulan tertentu seperti remaja, ibu bapa, penjaga (kepada pesakit mental) dan guru-guru termasuk kaunselor sekolah bagi membantu menangani permasalahan mental dan stigma.

Aspek lain yang perlu diberi perhatian adalah dari segi pemerkasaaan masyarakat melalui pemberian latihan dan kemahiran kepada individu–individu di luar lingkungan KKM untuk menyampaikan advokasi dan sokongan serta intervensi psikososial kepada masyarakat.

KKM amat memerlukan sokongan dan penglibatan daripada agensi lain yang berkaitan untuk memastikan strategi yang dirancang ini dapat dilaksanakan secara berkesan.

Pada ketika ini, satu kumpulan Teknikal yang dianggotai oleh pakar-pakar dalam bidang kesihatan mental daripada KKM, agensi kerajaan lain dan pertubuhan bukan kerajaan sedang membentuk satu pelan tindakan strategik kesihatan mental kebangsaan untuk tempoh 5 tahun yang akan datang (2016-2020).

Antara tindakan yang digariskan dalam pelan tindakan ini adalah:

  • Perkhidmatan kesihatan mental yang lengkap dan menyeluruh
  • Kerjasama dalam kalangan pelbagai agensi
  • Promosi Kesihatan Mental dalam kalangan komuniti, warga sekolah dan warga bekerja untuk memastikan kesejahteraan mental dan meningkatkan literasi kesihatan mental
  • Pembangunan Sumber Manusia dalam kesihatan mental
  • Bantuan Asas Psikologi dalam Krisis
  • Penyelidikan dan Surveilan dalam Kesihatan Mental

Pihak Kerajaan melalui Kementerian Kesihatab juga ingin menggesa ahli keluarga dan penjaga individu yang mengalami masalah kesihatan mental atau gangguan mental, dan juga komuniti untuk sama-sama memainkan peranan bagi memastikan individu tersebut dibawa ke fasiliiti kesihatan untuk mendapatkan penilaian lanjut.

Ahli keluarga perlu lebih prihatin, mengambil tahu dan memberi sokongan kepada ahli keluarga yang lain yang didapati mengalami tanda tanda awal permasalahan mental.

Masyarakat juga perlu lebih peka untuk menghulurkan bantuan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan yang didapati menunjukkan tanda-tanda awal masalah emosi atau kemurungan.

Bantu mereka dengan cara mendengar luahan dan bawa mendapatkan bantuan pakar sekiranya diperlukan.