UMNO Pulau Pinang Tolak Penubuhan PFP, Sangkal Parti Baharu Itu Mesra BN

zainal-abidin

GEORGE TOWN, 12 Okt – UMNO Pulau Pinang menolak penubuhan parti baharu Penang Front Party (PFP) di negeri ini kerana ia bukan parti mesra Barisan Nasional (BN).

Pengerusinya Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata penglibatan anggota Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin sebagai penasihat parti PFP sama sekali tidak mewakili UMNO sebaliknya atas kapasiti peribadi beliau sendiri.

“Hasrat PFP untuk bertanding di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang ditandingi oleh komponen BN selain UMNO adalah jelas bertentangan dengan konsep sebuah parti mesra BN, sebuah parti mesra BN tidak akan sama sekali meletakkan calon bertanding menentang calon BN.

“Jadi mana mungkin UMNO Pulau Pinang menyokong hasrat PFP itu yang jelas bertentangan dengan prinsip dan semangat setiakawan yang didokong kukuh oleh parti-parti dalam Barisan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Isnin lepas, Zahidi dilaporkan sebagai berkata PFP sebuah parti baharu yang mesra BN di Pulau Pinang dan berhasrat bertanding di 25 kerusi DUN di negeri ini.

Zainal Abidin berkata penubuhan parti PFP dan pelantikan Zahidi sebagai Penasihat PFP tidak pernah dirujuk kepada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO ataupun Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang malah tiada sebarang persetujuan diberikan oleh UMNO kepada Zahidi untuk dilantik sebagai Penasihat parti itu.

Beliau berkata UMNO Pulau Pinang turut kesal dan kecewa dengan tindakan Zahidi yang membenarkan dirinya dipergunakan oleh PFP yang mampu menggugat kerjasama dan persefahaman antara parti-parti komponen BN yang sekian lama terjalin di Pulau Pinang.

“Selain itu, persetujuan Zahidi menjadi Penasihat sebuah parti yang mencadangkan pewujudan sebuah kasino di Pulau Pinang adalah tindakan yang tidak wajar dan tidak beretika bagi seorang anggota Parlimen UMNO.

“Beliau juga sepatutnya lebih peka dan lebih maklum dengan keadaan dan sensitiviti umat Islam khususnya dan rakyat Pulau Pinang amnya. UMNO Pulau Pinang tetap dan tegas dengan pendiriannya menolak sekeras-kerasnya sebarang cadangan untuk mewujudkan kasino di Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga anggota Parlimen Kepala Batas berkata cadangan PFP untuk mewujudkan sebuah kasino di negeri ini sekiranya parti berkenaan menang dalam pilihan raya umum ke-14 adalah cadangan yang dangkal dan tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat tempatan.

Dalam satu kenyataan, Reezal Merican yang juga Timbalan Menteri Luar berkata Pulau Pinang adalah negeri yang kaya dengan produk pelancongan dan negeri ini tidak memerlukan kasino atau pusat-pusat perjudian untuk menarik lebih ramai pelancong asing ke Pulau Pinang.

Katanya selain itu, perjudian bukan budaya rakyat Malaysia khususnya penduduk Pulau Pinang dan beliau yakin serta percaya majoriti rakyat negeri ini yang bukan Islam turut menolak sebarang aktiviti perjudian kerana ia adalah racun yang boleh merosakkan keluarga dan masyarakat.

“Selagi saya menjadi Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas dan Anggota Parlimen Kepala Batas, saya akan pastikan tiada sebuah pun kasino akan wujud di bumi Pulau Pinang.

“Saya juga ingin menyatakan dengan terang dan jelas bahawa UMNO tidak ada sebarang kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan PFP dan penglibatan Zahidi adalah atas kapasiti peribadinya sendiri dan tidak mewakili parti UMNO,” katanya. – Bernama

Advertisements