UNESCO Isytihar Israel Sebagai Penjajah

BAITULMUQADDIS, 15 Okt – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kelmarin mengecam Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana mengadakan undian untuk menamakan Baitulmuqaddis Timur sebagai wilayah “Palestin yang Dijajah”.

Netanyahu berkata, badan kebudayaan PBB itu sudah hilang legitimasinya.

Resolusi itu diusulkan oleh beberapa negara Arab termasuk Mesir, Lebanon dan Algeria serta diterima di peringkat jawatankuasa UNESCO. Ia akan diserahkan untuk kelulusan majlis eksekutif UNESCO Selasa ini.

Resolusi itu diterima selepas 24 undi menyokongnya berbanding enam undi menentang, manakala 26 anggota jawatankuasa UNESCO lain tidak mengundi dan dua lagi tidak hadir.

Penggunaan terma itu bertujuan melindungi warisan kebudayaan dan ciri tersendiri Baitulmuqaddis Timur.

“Keputusan tidak masuk akal ini menyebabkan UNESCO hilang kuasa dan kesahan yang sinonim dengan badan tersebut,” kata Netanyahu dalam satu kenyataan.

Resolusi itu juga merujuk Israel sebagai “Kuasa Penjajah”.

Israel menawan Baitulmuqaddis Timur dalam perang 1967 dan me­rampasnya dalam tindakan yang tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Penduduk Palestin mahu menjadikan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin seperti yang terkandung dalam pelan damai Asia Barat.

Sesi pengundian kelmarin berlangsung enam bulan selepas UNESCO mengeluarkan resolusi pada April lalu untuk mengecualikan nama Temple Mount yang diberikan oleh Israel kepada perkarangan Masjidil Aqsa.

“Untuk menyatakan bahawa Israel tidak mempunyai kaitan dengan Temple Mount adalah seperti berkata bahawa China tidak mempunyai hubu­ngan dengan Tembok Besar,” kata Netanyahu kelmarin.

Dalam pada itu, sumber diplomatik Palestin berkata, resolusi baharu itu mengiktiraf kepentingan Bandar Lama di Baitulmuqaddis untuk ketiga-tiga agama langit. – AFP

Advertisements