Kenapa PAS Tak Serang Perdana Menteri Berkaitan Isu 1MDB? – Mursyidu AM

ALOR SETAR, 18 Okt – PAS lantang menegaskan pendirian parti itu untuk tidak menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, yang menjadi mangsa serangan politik berhubung isu 1MDB.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin berkata, PAS tidak akan sesekali terlibat dalam tuduhan yang meragukan itu ekoran ia adalah salah dari sudut hukum-hakam yang ditetapkan Allah SWT.

“1MDB.. PAS tak sebut apa-apa, itu takdak suatu yang lengkap, yang menunjukkan betul (dakwaan pembangkang).. sekarang dok teraba-raba lagi.

“Dalam perkara raba-raba (meragukan), kita tak boleh libatkan (diri), kita (hanya libatkan diri dalam) benda yang jelas,” tegas beliau mengenai pendirian PAS terhadap isu yang sering menjadi bahan “menghalalkan” serangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Mursyidul Am PAS itu turut memberi contoh bahawa Islam juga menggariskan umatnya supaya tidak menuduh seseorang dengan sesuatu kesalahan yang tidak jelas, meragukan dan tidak dibuktikan kesalahannya tanpa sebarang keraguan.

“Kalau kita ambil (contoh) hukum nak tuduh orang berzina. Dia (Islam) nak 4 saksi, bukan saksi pakat-pakat jom kita tuduh dia tu berzina.

“Dalam Islam orang yang begitu, (hukumannya) 80 puluh rotan. Tuduh orang berzina (tanpa bukti yang disyaratkan syarak).

“Nak kena tengok benda tu berlaku betul. Agak mustahil kita nak tuduh orang tu berzina. Takkan boleh kita nak tengok belek,” tegas beliau.

Justeru itu beliau mengingatkan seluruh umat Islam termasuk pemimpin, ahli dan penyokong PAS supaya taat pada hukum-hakam Allah yang menggariskan supaya menjaga maruah dan kehormatan seseorang.

“Begitu ketat hukum yang Tuhan tunjuk. Kita kena jaga maruah orang, kehormatan orang, kekeluargaan orang.. kita tak boleh ikut sedap (mulut/nafsu) kita,” ujar beliau, tidak terpengaruh dengan serangan politik yang “menghalalkan yang haram”.