1MDB: Shafie, Ahmad Husni Tak Berpendirian Tetap

Shahrir Samad 1MDB.jpg

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Dua bekas menteri yang membangkitkan rasa tidak puas hati mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada persidangan Dewan Rakyat kali ini disifatkan sebagai individu yang tidak berpendirian tetap.

Anggota Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, semasa memegang jawatan menteri, tidak pernah membantah, sebaliknya bersetuju dengan pelaksanaan pelan rasionalisasi 1MDB.

“Soal rasionalisasi 1MDB diputuskan oleh kabinet dan ketika itu Shafie menjadi menteri yang bersetuju kepada pelan itu… tapi kenapa masa itu tiada bantahan.

“Saya pernah jadi menteri, selepas itu calon bebas bertanding lawan BN, tetapi dalam kempen saya tidak mengungkit apa perkara yang saya bersetuju bersama,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Shahrir yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) berkata mereka seharusnya mempunyai prinsip tersendiri dan bukannya bersifat populis kerana mahu menentang Barisan Nasional (BN).

Mohd Shafie, Anggota Parlimen Semporna yang juga bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mempersoalkan beberapa keputusan kerajaan berhubung 1MDB ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat Selasa.

Pada Isnin, Ahmad Husni iaitu Anggota Parlimen Tambun yang juga bekas Menteri Kewangan Kedua turut membangkitkan isu sama selain menggesa kerajaan menguruskan ekonomi negara lebih cekap dan telus.

Sementara itu, Anggota Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata Ahmad Husni dan Mohd Shafie sepatutnya memberi tumpuan membincangkan kelemahan dasar dan bukannya soal pelaksanaan kerajaan semata-mata.

“Dalam Islam, pemimpin salah ditegur, bukan buang… 1MDB pada pokoknya adalah amat baik, tetapi bermasalah dalam pelaksanaannya.

“Soal pelaksanaan dalam konteks 1MDB sekarang ada proses tertentu (untuk penambahbaikan) yang tengah berjalan, kedua-dua mereka perlu menunjukkan kematangan dalam perkara ini,” katanya.