Tiada Keputusan Untuk Tamatkan Penganjuran F1 – Petronas

PETALING JAYA, 25 Okt – Tiada sebarang keputusan muktamad dibuat berhubung isu untuk menamatkan penganjuran Formula Satu (F1) Malaysia.

Ketua Pengurusan Jenama Petronas, Rizan Ismail berkata, buat masa ini lebih baik pihaknya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan perkara itu.

“Lebih baik saya tidak membuat sebarang kenyataan kerana kami belum ada apa-apa keputusan.

“Petronas masih ada kontrak bersama FOM (Formula One Management).

“Apabila SIC (Litar Antarabangsa Sepang) dan FOM sudah membuat keputusan, barulah kita akan melihat dan menilai apa langkah seterusnya,” jelas selepas sidang media Program Pembangunan Bakat Petronas pada Selasa.

Menurut Rizan, sehingga itu pihaknya belum boleh mengeluarkan kenyataan mengenai perkara tersebut.

Pada Isnin, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mencadangkan supaya penganjuran perlumbaan F 1 Malaysia ditamatkan berikutan kos penganjuran yang tinggi.

Malaysia mula menjadi penganjur F1 sejak 1999.