Lawatan Ketiga Najib Razak Ke China Capai Keputusan Bersejarah

najibchina

BEIJING, 2 Nov – Lawatan rasmi ketiga Datuk Seri Najib Tun Razak ke China bukan hanya bersejarah berdasarkan perspektif perniagaan disebabkan ia menyatukan hubungan dua hala tetapi turut mencapai keputusan bersejarah dalam bidang pertahanan.

Perdana menteri berkata dari segi kejayaan perjanjian perdagangan, Malaysia dan syarikat dari China melakar pencapaian bersejarah menerusi pemeteraian 14 perjanjian bernilai RM144 bilion.

Kerajaan Malaysia turut mencapai keputusan bersejarah untuk membeli empat buah Kapal Misi Litoral (LMS) daripada China, dua daripadanya akan dibina di China dan dua buah lagi di Malaysia, kata Najib pada sidang media besama media Malaysia di sini pada Selasa.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata jumlah kapal itu akan ditambah jika Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpuas hati dengan kapal yang dihasilkan itu yang dijangka dapat disiapkan dalam masa dua tahun.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ini kali pertama Malaysia membeli peralatan tentera dari China dan ia dibuat atas cadangan TLDM berdasarkan harganya yang murah serta memenuhi keperluan mereka.

Katanya pembelian kapal tersebut akan menggunakan lebihan peruntukan TLDM untuk membaik pulih kapal bagi menggantikan Laksamana-class Corvettes yang perlu diganti.

Sementara itu, Najib berkata perbincangan beliau dengan rakan sejawatannya dari China, Li Keqiang pada pertemuan di sebelah petang, tidak hanya melibatkan syarikat yang besar-besar sahaja, sebaliknya turut meliputi isu berkaitan pekebun kecil dan penternakan burung walit.

Beliau menyarankan kepada Li supaya kerajaan China menambah pembelian minyak kelapa sawit memandangkan 500,000 pekebun kecil di Malaysia bergantung kepada permintaan terhadap minyak sawit.

Najib berkata Li telah memberi respons yang positif dan akan mengambil tindakan.

Selain itu, kata perdana menteri, perbincangan turut berkisar kepada pengeksportan sarang burung mentah yang belum dibersihkan ke China.

Beliau berkata pihaknya menyarankan agar kemudahan untuk mengeksport sarang burung mentah itu perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan dengan segera disebabkan ia melibatkan 10,000 penternak burung walit di Malaysia.

Malaysia, selaku pengeluar sarang burung kedua terbesar di dunia, akan mengeksport sarang burung mentah yang belum dibersihkan ke China, di samping sarang burung yang telah diproses.

China mencatatkan pasaran sarang burung sebanyak US$1.8 bilion setahun.

Najib berkata beliau turut memaklumkan kepada Li bahawa kampus Universiti Xiamen Malaysia di Sepang, kampus luar negara pertama ditubuhkan oleh sebuah universiti terkemuka China, akan memulakan pengambilan pelajarnya pada suku pertama tahun depan membabitkan sejumlah 5,000 pelajar.

Perdana Menteri turut membangkitkan tentang kesalinghubungan udara dengan berharap kerajaan China dapat mengkaji waktu penerbangan AirAsia dan Malaysia Airlines ke negara itu yang kini hanya pada lewat malam atau awal pagi kepada waktu yang lebih selesa kepada penumpang.

Beliau memaklumkan kepada Li bahawa Kementerian Kewangan telah meluluskan lesen bank komersial kepada China Construction Bank (Malaysia) Bhd (CCB Malaysia), sebuah anak syarikat milik penuh China Construction Bank Corporation Ltd.

Katanya, kerajaan Malaysia turut menyatakan sokongan terhadap Genting Secret Garden yang dibangunkan oleh syarikat Malaysia, Genting Group, di Chongli County, Zhangjiakou, Hebei Province, sebagai sebuah projek peranginan bertaraf dunia di China.

Beliau berkata dalam pertemuan itu, Li memberi repons positif sebagai rakan yang boleh dipercayai.

Ditanya tentang jumlah pelaburan dan perjanjian perniagaan besar yang diperuntukkan kepada China berbanding negara lain, Najib berkata keputusan tersebut dibuat berdasarkan realiti ekonomi, malah sesetengah daripada peluang perniagaan yang diberi kepada China turut ditawarkan kepada negara lain.

Bagaimanapun, katanya, negara yang turut ditawarkan itu tidak mempunyai kemampuan kewangan dan kepakaran untuk menerima projek berkenaan.

“Kita turut mengambil kira kebaikan yang kita peroleh daripada perjanjian perniagaan tersebut,” katanya.- BERNAMA