Terima Dana Soros: Jabatan Peguam Negara Belum Terima Kertas Siasatan

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Jabatan Peguam Negara masih belum menerima kertas siasatan daripada pihak berkuasa berhubung kenyataan beberapa organisasi yang menerima dana daripada hartawan George Soros.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata perkara itu masih lagi dalam siasatan pihak berkuasa dan beliau masih belum menerima atau pun melihat kertas siasatan itu.

“Lepas siasatan baru saya buat keputusan (untuk mendakwa atau sebaliknya),” katanya kepada pemberita ketika ditanya sama ada Jabatan itu sudah menerima kertas siasatan berhubung perkara itu.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran buku sulungnya bertajuk “Fiat Justitia” atau bermaksud “Let Justice Be Done”, yang disempurnakan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria di sini Jumaat.

Pada Khamis, Majlis Peguam mengakui bahawa ia menerima sejumlah RM$53,757.12 (US$15,000) daripada Open Society Foundation (OSF) sebagai geran untuk menjalankan kajian penyelidikan mengenai pekerja migran di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Migran, Pelarian dan Imigresen, majlis berkenaan, Datuk Seri M. Ramachelvan mendedahkan bahawa pembiayaan itu diterima daripada OSF pada 7 Januari 2015.

Baru-baru ini, DC Leak mendakwa OSF yang dimiliki Soros menyalurkan dana kepada pertubuhan awam tempatan termasuk Bersih, C4 Malaysia, Pusat Kesedaran Komuniti (Empower), Penang Institute, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Jawatankuasa Pilihan Raya Bebas (Comfrel).

Buku Mohamed Apandi itu mengandungi himpunan lebih 70 penghakiman Mohamed Apandi dalam tempoh 12 tahun beliau menduduki kerusi hakim di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Ketika ditanya mengenai buku itu, Mohamed Apandi berkata ia juga merakamkan dengan jelas kehidupan awal beliau sebagai kanak-kanak di Tumpat, Kelantan dan semasa bertugas dalam perkhidmatan undang-undang dan kehakiman dan karier yang penuh warna warni sebagai peguam bela dan peguam cara.

Mohamed Apandi juga berharap buku 796 halaman berharga RM220 itu akan berada di pasaran Isnin depan yang akan memberi manfaat kepada para hakim, peguam dan pelajar.

Antara penghakiman beliau yang berprofil tinggi yang dihimpunkan di dalam buku itu itu adalah kes Nik Noorhafizi Nik Ibrahim menentang pendakwa raya berhubung hak rakyat kepada perhimpunan aman dan Menteri Dalam Negeri menentang Ketua Paderi Gereja Roman Katolik Kuala Lumpur.

Sebelum itu, dalam ucapannya Arifin berkata tidak dapat dielakkan kadang-kadang suara dan personaliti seseorang hakim terpamer melalui penghakiman mereka.

“Bagaimanapun, satu perkara saya mesti katakan bahawa menulis sesuatu penghakiman adalah satu kerja yang perlu dilakukan dengan cermat dan teliti, ia menuntut banyak usaha, dedikasi dan pengorbanan,” katanya.

Arifin berkata ia sering tidak dihargai oleh orang awam namun sebagai hakim mereka mesti berbangga dengan penghakiman yang ditulis mereka dan dalam hubungan ini, Mohamed Apandi juga tidak terkecuali. – BERNAMA