SPRM Perlu Siasat Kenyataan Bekas MB Selangor Berhubung ‘Splash’ – Irmohizam

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat kenyataan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung isu pengambilalihan ekuiti Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash).

Anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata siasatan itu perlu memandangkan kenyataan Khalid menyentuh soal tadbir urus dan integriti kerajaan negeri.

“Ini merupakan isu integriti yang harus dilihat secara serius kerana ia dikaitkan dengan penggunaan duit rakyat. Kenyataan Tan Sri Khalid merupakan satu kenyataan yang mempunyai fakta yang perlu dijawab oleh kepimpinan kerajaan negeri Selangor,” katanya kepada pemberita di Parlimen, Isnin.

Abdul Khalid sebelum ini menafikan dakwaan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengatakan kerajaan Selangor ketika di bawah pimpinannya menawarkan sebanyak RM2.975 bilion bagi pengambilalihan ekuiti Splash antara 2008 dan 2014.

Mohamed Azmin baru-baru ini dilaporkan mendakwa Abdul Khalid, sewaktu memegang jawatan menteri besar tidak pernah memaklumkan kepada Dewan Undangan Negeri berkenaan tawaran RM2.975 bilion yang dibuat kepada Splash melalui surat bertarikh 25 Jun 2009 dan seterusnya pada 19 Julai 2009.

Sementara itu ketika ditanya jika Barisan Nasional Selangor akan membuat laporan kepada SPRM berhubung kenyataan Abdul Khalid itu, Irmohizam berkata mereka akan mendapatkan dahulu kenyataan balas daripada kerajaan negeri Selangor.

Tambahnya kenyataan Abdul Khalid itu perlu dijawab kerana ia menimbulkan spekulasi dalam kalangan rakyat mengenai tadbir urus air yang dilihat semakin lemah dan menyebabkan kesengsaraan dan penderitaan kepada rakyat negeri Selangor.

Sementara itu di SHAH ALAM, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Selangor mencabar Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat), memanggil Mohamed Azmin untuk mendedahkan secara terperinci berhubung tawaran pembayaran pengambilalihan ekuiti Splash.

Adun Dengkil Shahrum Mohd Shariff berkata perkara itu perlu didedahkan kepada Selcat bagi membolehkan rakyat mendapatkan maklumat terperinci serta nilai sebenar bayaran pengambilalihan tersebut.

“…justeru kita gesa Selcat supayamemanggil Mohamed Azmin dan Abdul Khalid untuk memberikan penjelasan supaya tiada unsur salah laku dan penyalahgunaan kuasa di sini,” katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri, di sini.

Abdul Khalid dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, kerajaan Selangor di bawah pentadbirannya tidak pernah menawarkan bayaran RM2.975 bilion bagi pengambilalihan ekuiti Splash antara 2008 dan 2014 seperti didakwa Mohamed Azmin.

Beliau berkata tuduhan itu dibuat bagi mengalihkan perbincangan mengenai keputusan pentadbiran Mohamed Azmin untuk membayar sebanyak RM2.975 bilion ke atas ekuiti syarikat konsesi air itu, iaitu 10 kali lebih tinggi daripada tawaran asal yang berjumlah RM250.6 juta.