Senario Politik 2016: Tragedi Dalam Kesamaran Politik PAS

hadi

DINAMIKA corak politik yang dimainkan PAS sepanjang 2016 menjadikan parti Islam itu berada pada kedudukan menang-menang, apabila ia menjadi sandaran demi survival politik pihak lain, sekali gus kekal relevan dalam politik arus perdana.

Bangkit daripada perpecahan dalaman yang berlaku pada tahun lalu, PAS menunjukkan percaturan kepimpinan ulama pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang berada pada tahap selesa.

Buktinya, selain parti serpihan PAS iaitu Parti Amanah Negara (Amanah), tiga lagi parti politik yang bertunjangkan Melayu-Islam iaitu UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masing-masing cuba menumpang tuah PAS.

Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri pada 28 November lalu mengakui bahawa hubungan tegang antara UMNO-PAS kini semakin “kendur” termasuk di peringkat akar umbi.

Kata-kata Perdana Menteri itu jelas dilihat berdasarkan beberapa persefahaman yang dicapai kedua-dua musuh politik tradisi itu.

Paling ketara apabila tercipta sejarah baharu di mana buat kali pertama usul persendirian daripada wakil rakyat pembangkang dibentangkan di Dewan Rakyat.

Pada 24 November lalu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mencadangkan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355).

Rentetan itu UMNO-PAS sekali lagi bergandingan apabila Najib dan Abdul Hadi berkongsi pentas buat kesekian kalinya dalam acara perhimpunan solidariti untuk Rohingya pada 4 Disember lalu.

Bagaimanapun Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff menyifatkan hubungan kedua-dua parti politik itu tidak akan berkesudahan baik dalam gelanggang pilihan raya.

Katanya, persefahaman yang dicapai UMNO dan PAS adalah jelas iaitu hanya membabitkan perkara tertentu yang khusus tanpa melibatkan pegangan politik.

“Masing-masing ada penolakan dan kepentingan, tak mungkin BN atau UMNO nak beri kerusi mereka kepada PAS?

“The most they can go ialah dengan bertanding sebagai blok ketiga iaitu mewujudkan saingan tiga penjuru dengan tujuan mengurangkan sokongan kepada komponen Pakatan Harapan,” katanya.

Tambah Kamarul Zaman lagi selain UMNO, PAS, turut diintai PPBM dan PKR sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

“Ini adalah pencapaian terbaik PAS. Walaupun bergerak sendirian, tapi mereka sentiasa bijak meletakkan kedudukan supaya parti-parti lain sentiasa tertarik untuk mendekati PAS.

“Tapi pada masa sama, ia juga sebenarnya adalah satu tragedi dalam kesamaran yang dihadapi PAS. Kesamaran itu berlaku di peringkat akar umbi yang mungkin belum dapat membaca apa sebenarnya pendirian pemimpin atasan dalam PAS,” katanya.

Selain itu Kamarul Zaman turut meramalkan bahawa hubungan PAS dengan PKR yang selama ini dilihat ‘tenang’ juga mungkin tidak akan bertahan lama.

Kata beliau, usul Dewan Muslimat PAS yang diterima tanpa bahas ketika muktamar tahunan pada 1 Jun lalu bagi mengkaji tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PKR juga menjadi catatan penting pada 2016.

“Kita jangan lupa tragedi ini. Usul itu telah diserahkan kepada Majlis Syura Ulama untuk diperhalusi. Jadi saya jangka keputusan mengenainya bakal ditetapkan sekitar awal 2017.

“Ia pastinya bakal menjadi satu lagi ‘game plan’ bagi PAS untuk berhadapan PRU-14 kerana dalam PKR sendiri wujud dua kumpulan yang salah satunya bergandingan dengan Amanah untuk menyerang PAS,” katanya.

Ujar beliau, tindakan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli ‘membelasah’ pemimpin dan ahli akar umbi PAS ketika hadir di Kota Bahru pada 24 Disember lalu boleh mengundang padah kepada parti yang diwakilinya itu.

“Ketika Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali cuba menjalin hubungan baik dengan PAS, Rafizi pula dengan lantang mengkritik PAS dan memuji-muji pimpinan Amanah.

“Keadaan ini dilihat tidak begitu baik kepada PKR sendiri untuk berhadapan PRU-14,” katanya.

Apa yang pasti, tahun baharu 2017 pastinya menjanjikan senario politik yang menarik untuk dikaji terutamya ketika cakap-cakap kuat mengatakan bahawa bahang pilihan raya sudah semakin dekat.

Harus diingat, jika PAS memutuskan hubungan dengan PKR dek kerana sikap satu dua pimpinannya, maka ia secara tidak langsung lebih mendekatkan hubungan antara parti itu dengan UMNO.

Advertisements