Pendakwaan Terhadap SRC Tidak Dibuat Kerana Tidak Ada Kes – Rahman Dahlan

SHAH ALAM, 4 Jan – Siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd tidak berakhir dengan pendakwaan kerana tidak ada kes, kata Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata, peguam negara memutuskan sama ada sesuatu kes akan didakwa atau sebaliknya untuk mengelakkan mana-mana pihak daripada menyalahgunakan kuasa mereka, termasuk pihak yang menyiasat.

Menurutnya, jikau pihak penyiasat mempunyai niat untuk menganiaya orang yang disiasat, maka pihak yang mendakwa boleh menghalang.

“Kalau pihak penyiasat dan pendakwa pula bersengkokol untuk menganiaya orang yang disiasat dengan mendakwa orang yang disiasat itu, maka pihak mahkamah (hakim) boleh menjadi penghalang kepada niat buruk mereka itu.

“Itulah tujuan kenapa kuasa menyiasat, kuasa mendakwa dan kuasa menghukum itu diasingkan oleh sistem perundangan kita,” katanya dalam satu kenyataan media.

Abdul Rahman mengulas kenyataan bekas Pengarah Bahagian Siasatan Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Bahri Mohd Zin yang memilih untuk bersara awal kerana kecewa dengan kes SRC International.

Abdul Rahman berkata, pandangan Bahri dalam kes SRC International tidak semestinya benar dan pandangan Peguam Negara itu tidak semestinya salah.

“Hanya kerana Peguam Negara tidak bersetuju dengan rumusan beliau, tidak bermakna Peguam Negara telah melakukan kesalahan dan tidak mempunyai integriti,” katanya.

Katanya, beliau pernah dimaklumkan semasa menjadi ahli Jawatankuasa SPRM Mengenai Rasuah dahulu bahawa banyak juga kes-kes yang disiasat oleh SPRM tidak dituduh di mahkamah oleh Peguam Negara atas berbagai sebab.

“Antaranya ialah kerana tidak cukup bukti, penyiasatan yang gopoh dan ketiadaan merit untuk pendakwaan,” katanya.

Advertisements