Ismail Sabri Minta Kakitangan KKLW Supaya Jangan Patah Semangat

ismail-sabri

PUTRAJAYA, 10 Jan – Kakitangan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) tidak seharusnya patah semangat dengan kes rasuah yang membabitkan kementerian itu, kata Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya tahu pada awal tahun ini, semangat kita jatuh disebabkan insiden yang mendukacitakan. Tetapi saya harap ia tidak mematahkan semangat semua,” katanya ketika berucap pada Isnin.

Tambah Ismail Sabri, kakitangan kementerian seharusnya bekerja keras bagi memastikan semua projek dan program dapat dilaksanakan bagi memanfaatkan rakyat.

“Anda perlu terus bekerja keras bagi memastikan semua projek kita dilaksanakan.

“Agenda terbesar bagi kita adalah membantu memakmurkan rakyat,” kata Ismail Sabri.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kes rasuah baru-baru ini membabitkan ketua setiausaha kementeriannya, Datuk Mohd Arif Ab Rahman ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk membantu siasatan.

Dua anak lelaki Mohd Arif turut ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

Terdahulu, Ismail Sabri berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan SPRM sekiranya diperlukan.

Advertisements