MARA Terjejas Dengan Penajaan Kepada Pasukan Bolasepak TRW

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui agensi persekutuan MARA, terjejas dengan penajaan oleh dua anak syarikatnya kepada pasukan bolasepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).

Memetik laporan Akhbar The New Straits Times Ismail berkata, MARA terkesan kerana kedua-dua penaja itu (Pelaburan Mara Bhd dan UniKL) adalah anak syarikat milik penuhnya.

“Berapa banyak disumbangkan dan bila tajaan bermula sedang disiasat. Saya masih menunggu laporan penuh.

“Seperti saya katakan sebelum ini dan sementara menunggu laporan lengkap siap, setiap penajaan perlu dihentikan buat sementara waktu,” kata Ismail seperti dilaporkan akhbar berkenaan.

Ismail mengulas arahan terbaharu supaya kedua-dua anak syarikat itu menggantung semua bentuk penajaan, kecuali yang berkaitan dengan pendidikan.

Sebelum ini Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan bahawa Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa menggunakan kedudukannya di MARA dan UniKL untuk mendapatkan penajaan kepada TRW.

Tunku Ismail juga mendedahkan beberapa dokumen yang memperincikan urus niaga tersebut dan mempersoalkan tajaan itu sedangkan UniKL terpaksa mengurangkan biasiswa sebanyak RM700 juta kepada pelajarnya tahun lalu.

Sementara itu, Annuar yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menafikan dakwaan tersebut dan mematuhi arahan Ismail supaya menyediakan laporan penuh berhubung perkara itu.

Advertisements