Parti Amanah Negara Dan PPBM Dipenuhi “Pemberontak” 

Memang menjadi tabiat dan naluri “pemberontak” bahawa mereka akan bersikap kurang sabar. Masing-masing mahukan sesuatu perubahan berlaku dengan segera dan mahu persekitaran berubah menurut impian mereka.

Hal ini paling ketara pada tindak-tanduk parti-parti politik baru yang melayan keyakinan bahawa mereka berupaya melaksanakan perubahan. Ini membuat mereka sering gopoh menyusun tindakan politik.

Dalam sejarah politik tanahair kecenderungan yang sama ditunjukkan oleh parti-parti politik baru untuk mencari tempat dalam gelanggang siasah Malaysia. Gelagat parti serpihan PAS iaitu Parti Amanah Negara menyerlahkan hakikat ini.

Walaupun kalah teruk dalam pilihanraya negeri Sarawak dan Pilihanraya Kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar tahun lalu, “kegopohan dan kedegilan” masih mewarnai politik Amanah.

Saban hari ia menekankan perbezaan politik mereka berbanding PAS. Bagi menarik perhatian umum, mereka menumpukan perhatian kepada usaha meremehkan PAS.

Malah mereka kelihatan angkuh dan sering mendabik dada bahawa ia lebih memahami dan lebih bijak melaksanakan tuntutan sebuah parti politik Islam. Bagi mereka PAS parti jumud dan sudah ketinggalan zaman.

Justeru terhamburlah kenyataan bahawa pengaruh dan saham PAS dalam pemerintahan Selangor akan dilupuskan dan menonjolkan ramalan bahawa PAS akan kehilangan lebih banyak kerusi berbanding apa yang ia sedia ada.

Begitu juga dengan serpihan Umno, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Pemimpin veteran seperti Tun Dr Mahathir Mohamad pun tidak terkecuali daripada “kegopohan” ini. Pendekatan politiknya lebih cenderung untuk mencabar parti-parti utama.

Kegopohan ini didorong oleh keinginan untuk menarik perhatian dan menghunjamkan keyakinan dalam pemikiran rakyat bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysianya (PPBM) berupaya menawarkan khidmat lebih baik daripada parti lamanya, Umno.

Bermodalkan kegemilangan silam, baik pemimpin Amanah mahupun PPBM, bersikap agak terlalu yakin dan ada kalanya kelihatan sangat angkuh. Amanah, misalnya, meramalkan PAS akan tersungkur dalam pilihanraya umum (PRU) ke-14 kelak.

Bagaimanapun bagi PAS dan Umno ini bukan kali pertama mereka diterjah oleh “pemberontak” parti. PAS pernah bertarung dengan Berjasa yang ditubuhkan oleh bekas-bekas pemimpinnya.

Begitu juga Umno yang pernah dicabar oleh parti serpihannya Semangat 46 dan sebahagian besar daripada pemimpin Parti Keadilan Nasional dan kemudian berkembang menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

AMANAH BERI TEMPOH 2 MINGGU

Maka Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub pun mengumumkan pada 27 Januari lalu bahawa PAS diberikan tempoh dua minggu menentukan pendirian mahu bekerjasama dengan PPBM dan akhirnya dengan Pakatan Harapan menghadapi PRU 14.

Menurut Salahuddin, gabungan pembangkang tidak boleh lengah merangka strategi besar menghadapi Barisan Nasional (BN) dalam apa jua kemungkinan sekalipun.

“Amanah berpandangan bahawa kita (PH dan PPBM) cukup terbuka dan menunaikan tanggungjawab besar bagi menyatukan parti pembangkang.

“Masa telah tamat dan pertengahan Februari adalah garis penamat untuk PH dan PPBM membuat keputusan muktamad,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu merumuskan pendiriannya akan kelewatan PAS membuat keputusan mahu atau tidak bekerjasama dengan PPBM demi menjalin jalan lain bekerjasama dengan PH.

Rundingan PPBM dengan PAS bertujuan mengelakkan pertindihan calon sesama pembangkang yang dikhuatiri akan memberi kelebihan kepada Umno-BN. PPBM telah mengikat perjanjian politik dengan PH pada Disember lalu untuk tujuan berkenaan.

Bagaimanapun PPBM menetapkan 1 Februari berbincang dengan PAS hala tuju kerjasama mereka, tempoh lebih dekat daripada kata-dua Amanah yang menetapkan pertengahan Februari sebagai tarikh mutlak PAS mesti membuat keputusan.

Namun begitu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa PAS menolak kehadiran DAP tetapi masih boleh berunding dengan PPBM.

Keputusan PPBM “mempercepatkan rundingan kepada 1 Februari” dilihat seolah-olah cuba “memberi isyarat” bahawa Amanah dan PPBM bersedia menghadapi PRU 14 tanpa kerjasama PAS.

Mahathir pula menegaskan dalam mencari titik persamaan perjuangan, parti-parti pembangkang perlu berkorban dengan membuat sedikit “perubahan matlamat perjuangannya”.

“Kalau mereka hendak masuk (dalam gabungan pembangkang) setiap parti kena korbankan matlamat dan pendirian kita.

“Dalam gabungan parti-parti ada perkara yang tidak setuju yang menjadi dasar perjuangan parti komponen tapi kita kena utamakan perjuangan menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak,” ujarnya.

AMANAH DAN PPBM ANGKUH, BERJIWA PEMBERONTAK

Kecenderungan “menggertak” PAS ini dipanjangkan oleh Naib Presiden PPBM, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang berkata partinya mengambil sikap “lantak” dan “tidak peduli” jika PAS keberatan bekerjasama dengan PH.

“Tetapi kalau dia (PAS) fikir tidak guna buat kerjasama dengan kita, lantaklah. Kita tidak peduli, kita boleh teruskan (kerjasama dengan PH) sebab kita satu pertubuhan yang kuat. Jangan fikir dia sahaja yang kuat,” katanya.

Yang menambah kekeliruan ialah apabila Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub mengumumkan bahawa PAS sudah tidak menjadi sebahagian Pakatan Harapan (PH) dan kini terpulang kepada parti itu untuk bertanding seberapa banyak kerusi dalam PRU14.

“Oleh kerana dia (PAS) tidak ada dalam Pakatan Harapan, kita nak ajak bincang (isu pembahagian kerusi) pun dia tolak dan tutup pintu perundingan,” katanya.

Soalnya, sememangnya PAS tidak pernah menganggotai PH yang ditegakkan PKR, DAP dan Amanah. Jika ada kaitan kerjasamapun ialah di antara PAS dan PKR di Selangor. DAP telah mentalak PAS daripada Pakatan Rakyat.

Gelagat angkuh Amanah dan PPBM memang membayangkan mereka tidak serasi dengan PAS. Salam damai yang dihulurkan oleh DAP hanya jerangkap politik mahu memanfaatkan jentera pilihanraya PAS dalam PRU akan datang.

Tambahan pula Mahathir tanpa segan silu mengumumkan matlamat utama PH ialah menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak. Hadi jelas menyanggah matlamat ini kerana perjuangan PAS ialah mengubah sistem pemerintahan negara.

Bagi Hadi menukar pemimpin bukan jaminan bahawa sistem politik yang pincang akan turut berubah. Yang perlu ialah menerapkan sistem pemerintahan Islam dan bukan melunaskan dendam terhadap seseorang pemimpin sahaja.

Jiwa ‘pemberontak Amanah dan PPBM’ kini didandan oleh dendam dan kepentingan politik jangka pendek untuk membuktikan ia adalah lebih baik daripada Umno dan PAS bak cita-cita “ular yang bermimpi menjadi naga”.

Advertisements