Pertemuan PAS-PPBM Hanya Pertemuan Biasa, Bukan Rundingan – Hadi Awang

hadi-awang

KUALA TERENGGANU, 3 Feb – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pertemuan antara partinya dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Rabu lalu, belum membawa ke arah kerjasama antara kedua-dua parti.

Hadi yang dipetik Utusan Malaysia berkata, pertemuan berkenaan adalah pertemuan biasa atas permintaan PPBM, dan bukan suatu perundingan khusus.

Kenyataan Hadi itu muncul ketika mana pemimpin pembangkang lain menyambut baik perkembangan daripada pertemuan PAS-PPBM yang pada mereka memberi satu ‘harapan’ baru.

“Semalam ada pertemuan. PPBM minta jumpa dengan PAS. Jumpa sahaja. Belum ada apa-apa keputusan kerana perkara itu hanya boleh diputuskan oleh Jawatankuasa PAS Pusat.

“Kita sudah buat garis panduan dan sempadan yang PAS tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai hubungan dengan DAP dan PAN (Amanah). Setakat ini, hasil pertemuan belum dilaporkan lagi kepada saya,” katanya yang dipetik portal itu.

Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bersama-sama rakan sejawatnya dari PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada Rabu mengadakan mesyuarat secara rahsia di ibu negara bagi merintis jalan ke arah kerjasama antara kedua-dua parti.

Mesyuarat itu menghasilkan draf kerjasama yang akan diperincikan oleh kedua-dua pihak untuk ditandatangani oleh Presiden kedua-dua parti pada satu tarikh terdekat.

Pada mesyuarat itu juga kedua-dua parti turut membentuk jawatankuasa teknikal bersama untuk mengambil tindakan susulan atas keputusan yang dipersetujui.

Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya menjangkakan jalan kerjasama antara partinya dengan PAS akan merintis usaha ke arah penyatuan parti-parti pembangkang yang lebih kukuh bagi menghadapi Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan pula menyifatkan kerjasama PAS-PPBM masih belum muktamad dan masih berada di peringkat perbincangan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki pula menyifatkan jalan ke arah kerjasama PAS-PPBM masih jauh, kerana apa jua bentuk cadangan perlu terlebih dulu diteliti Jawatankuasa Pusat PAS sebelum dibawa pua ke majlis syura ulama (MSU).

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai sindiran Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub bahawa beliau hanya bermimpi di siang hari susulan mahu menang 40 kerusi Parlimen, Abdul Hadi berkata, PAS berpijak di bumi nyata, tidak seperti parti serpihan berkenaan.

“Kalau kita tidur dengan baik, siang boleh mimpi, malam pun boleh mimpi. Yang penting jangan tidur dalam keadaan yang susah dan rungsing. PAS tidak mimpi, kita berpijak di bumi nyata.

“PAS ada 160 kawasan di seluruh negara serta ada cawangan. Parti lain seperti DAP dan PAN (Amanah) tidak ada kawasan mahupun cawangan. Mereka bergerak atas angin,” katanya.

Advertisements