PAS Akan Ambil Tindakan Undang-Undang Ke Atas Husam Musa – Tuan Ibrahim

SHAH ALAM, 10 Feb – PAS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap ADUN Salor, Datuk Husam Musa yang menuduh parti itu menerima dana RM 90 juta daripada Umno.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihak guaman PAS akan meneliti tuduhan berkenaan dan mengemukakan saman fitnah dalam masa terdekat.

“PAS menafikan sekeras-kerasnya tuduhan jahat Datuk Husam Musa bahawa PAS menerima dana RM90 juta daripada Umno melalui akaun Affin Bank.

“Fitnah jahat ini adalah sambungan rantaian fitnah yang pernaah dibuat oleh Sarawak Report yang kini dalam tindakan perundangan.

“PAS akan mengambil tindakan undang-undang ke atas beliau sebagaimana kita ambil tindakan kepada Sarawak Report,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Harakahdaily.

Husam, bekas Naib Presiden PAS, beberapa hari lalu dalam ceramahnya mendakwa mengetahui maklumat mengenai dana RM90 juta yang didakwa disalurkan kepada PAS.

Dalam ceramahnya, Husam mendakwa ada dana bernilai RM90 juta disalurkan melalui akaun di Affin Bank.

Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan butiran lanjut mengenainya.

Rakaman singkat video ucapan Husam itu tersebar di media sosial dan dimuat naik di YouTube.

Husam membayangkan untuk mendedahkan lebih banyak butiran mengenai isu berkenaan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Husam yang pernah menjadi naib presiden PAS antara 2011 hingga 2015, kini menyertai Amanah, selepas dipecat daripada PAS atas dakwaan salah laku.

Isu RM90 juta mula dibangkitkan oleh portal Sarawak Report pada Ogos tahun lalu.

Ekoran dakwaan itu PAS menyatakan mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap laman web berkenaan.

Advertisements