PAS Minta Dr Mahathir Sedar, Dia Bukan Lagi Perdana Menteri

PETALING JAYA, 14 Feb – Tun Dr Mahathir Mohamad diminta untuk ‘sedar’ bahawa beliau bukan lagi perdana menteri sehingga boleh menentukan keputusan sesebuah parti.

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Samad berkata, adalah tidak wajar untuk Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu terus mendesak PAS berhubung isu penyertaan dalam Pakatan Harapan (PH).

“Apa locus standi dia untuk beri tempoh kepada sesiapa? Mungkin dia masih memikirkan bahawa dia masih lagi Perdana Menteri. Kita kena ingatkan dia bahawa dia bukan Perdana Menteri lagi, dia tak boleh beri tempoh kepada sesiapa,” katanya ketika ditemui ketika Ceramah Pra-Himpunan 355 di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dr Mahathir pada Sabtu lalu yang memberi tempoh sebulan kepada pemimpin PAS untuk memutuskan sama ada mahu menyertai PH atau tidak.

Dr Mahathir dipetik sebagai berkata, walaupun perkara itu masih di peringkat perbincangan dengan PAS susulan pertemuan kedua-dua parti pada 1 Feb lepas, keputusan segera harus diperolehi bagi menentukan strategi seterusnya.

Bekas perdana menteri itu juga menyatakan kekesalannya ekoran keengganan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bertemu dengan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan soal kerjasama ini dengan lebih lanjut.

PAS pada ketika ini masih dalam proses rundigan bersama PPBM dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang, namun ia belum lagi mencapai sebarang kata putus di mana kedua-dua parti masih meneliti deraf kerjasama mereka.

Dalam pada itu, Iskandar yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, PAS perlu mempertahankan prinsip parti dan teliti dalam sebarang keputusan khususnya membabitkan rundingan bersama parti lain kerana tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’.

“Kita perlu tegas dari segi prinsip kita, dan kita tak mahu dikhianati seperti sebelum ini. Kita memang tegas, tapi pilihan raya masih lama lagi…boleh berlaku perbincangan selepas ini. Kita tunggu dan lihat,” ujarnya.

Dalam perkembangan berasingan, Iskandar mempersoalkan penentangan sebuah NGO terhadap usul yang akan dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperkasakan mahkamah syariah.

Ujarnya, meskipun setiap individu berhak menyatakan pandangan, namun dalam hal ini, pihak yang berkenaan diminta ‘lebih arif’ sebelum bertindak menentang langkah meminda Rang Undang-Undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

“Mereka ada pandangan mereka, tapi kita merasakan pandangan kita adalah lebih konkrit dan lebih wajar ahli Parlimen Islam, malah bukan Islam sekalipun untuk menyokong pindaan RUU355 ini sebab ia melibatkan umat Islam.

“Dan ia telah dipinda sebelum ini pada 1980an, dan pada 1960an pun tiada tentangan, tapi kenapa sekarang ini perlu ada tentangan?

Saya melihat RUU ini adalah satu yang wajar untuk memperkasakan mahkamah syariah,” katanya beliau.

Sebuah NGO yang menggelarkan diri sebagai BEBAS semalam menggesa semua wakil rakyat mengundi ‘tidak’ terhadap usul yang akan dibawa Hadi bagi memperkasakan mahkamah syariah.

BEBAS juga mengulangi hujah bahawa ‘pemerkasaan’ kuasa Mahkamah Syariah hanya akan melebarkan jurang perbezaan antara layanan dari segi undang-undang terhadap mereka yang beragama Islam dan mereka yang bukan Islam.

BEBAS bakal mengadakan himpunan balas bagi membantah RUU355 di Padang Timur, Dataran Petaling Jaya, pada hari yang sama dengan Himpunan 355 yang diadakan bagi menggembleng sokongan terhadap langkah PAS itu.

Advertisements