Penganalisis Dakwa Perangai ‘Kebudak-budakkan’ Tun M Makin Terserlah

SHAH ALAM, 6 Mac – Penganalisis politik, Datin Paduka Prof Ramlah Adam menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad menghentikan apa sahaja tindakan dan kata-kata yang secara tidak langsung akan memburukkan dirinya sendiri.

Mengulas cabaran bekas perdana menteri itu supaya Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bertanding di Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, Ramlah turut menyifatkan ia sebagai tidak logik.

“Dr Mahathir tidak perlu nak memburukkan dirinya, merendahkan martabatnya dan mengaku buat benda salah. Beliau memang ahli politik. Orang sebegini tidak perlu dilayan, sebab beliau sudah tiada isu lagi hendak cakap.

“Ia tidak logik. Bukan takut Nazri kalah, tetapi ia tidak kena. Bukan (asal) orang sana, nak bertanding di sana, orang tak kenal.

“Orang mungkin kenal tetapi tiada jasa, agenda di sana. Jadi tidak perlulah. Ini cabaran orang politik yang bercakap sedap mulut. Kedua, cabaran orang yang melatah,” katanya kepada Antarapos, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir mencabar Nazri bertanding di Langkawi pada pilihan raya kelak, dengan menyampaikan ‘pesan’ bahawa ahli parlimen berkenaan tidak perlu gentar untuk bertanding di mana-mana kawasan sekalipun.

CABARAN TUN M KEBUDAK-BUDAKKAN

Terdahulu Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan mencabar Dr Mahathir untuk bertanding di Padang Rengas selepas dimaklumkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu akan turun ke kawasan parlimennya untuk menyertai siri jelajah parti, pada penghujung bulan ini.

Tambah Nazri jika Dr Mahathir enggan bertanding, cabaran tersebut akan dikemukakan kepada Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dr Mahathir yang ditemui selepas ceramah umum Pakatan Harapan (PH) di Bangi malam tadi mencabar Nazri menentangnya di Langkawi, sekiranya beliau bertanding.

“Cabaran Tun M itu cabaran budak-budak,” demikian menurut Ramlah.

Ramlah, yang juga Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis juga mengulas ‘pengakuan’ Dr Mahathir bahawa beliau seorang yang pakar dalam membuat pusingan U.

“Itu kan stail Dr Mahathir dari dahulu, apabila orang katakan beliau seorang diktator, beliau tidak mengaku. Lama-kelamaan baru mengaku sebagai diktator, dan sebabnya dikatakan sebagai jalan untuk buat kerja,” ujarnya.

Dr Mahathir berkata pusingan U yang sering dilakukannya sebelum ini atas beberapa sebab yang relevan, antaranya untuk menjatuhkan Umno yang dipimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Beliau merujuk kepada tindakannya yang mengumumkan keluar daripada Umno pada tahun lalu.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas mengenai tindakannya yang membuat pusingan U bersabit beberapa isu termasuk kenyataan mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini menggelarkan Dr Mahathir sebagai jaguh ‘pusingan U’ kerana sering membuat kenyataan berdolak dalik termasuk berkaitan BR1M sejak kebelakangan ini.

Menurut Najib, Pengerusi PPBM itu sebelum ini menuduh BR1M sebagai rasuah kerajaan untuk menang pilihan raya umum.

Namun ketika berucap sewaktu majlis pelancaran PPBM pada Januari lalu, Dr Mahathir membuat pusingan U dengan mengatakan pembangkang akan meneruskan pemberian BR1M jika menang pilihan raya umum akan datang.

“Hakikatnya beliau membuat pusingan U akhirnya mengaku salah apa yang beliau buat,” katanya.

Advertisements