BN Selangor Lancar Ops Yawas Ajak Rakyat Lapor Penyelewengan- Noh Omar

noh-omar-bn-selangor

KUALA SELANGOR, 25 Mac – Barisan Nasional (BN) Selangor melancarkan ‘Ops Yawas’ bertujuan mengajak semua pihak di Selangor membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dana Skim Mesra Usia Emas (SMUE) oleh kerajaan Selangor.

Pengerusinya Tan Sri Noh Omar berkata pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai yang tidak berpuas hati tentang pengurusan dana SMUE hingga ramai yang belum menerima dana khairat kematian di bawah skim itu.

“Dana itu dilaporkan tidak diberikan kepada rakyat Selangor mengikut jumlah yang ditentukan iaitu RM2,500 seorang untuk khairat kematian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama mangsa ribut di Kampung Bestari Jaya di Kuala Selangor semalam.

Menurutnya hasil maklumat dan bukti yang diterima melalui ‘Ops Yawas’ akan disalurkan kepada pihak berkuasa khususnya polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan dibuat.

Noh juga mendakwa berdasarkan maklumat yang diperolehi, penyelewengan berlaku di banyak kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sehubungan itu wajar untuk kerajaan Selangor tampil memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Advertisements