Keputusan Kerajaan Tidak Membentangkan RUU355 Tidak Melemahkan PAS

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Keputusan kerajaan untuk tidak membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 di Dewan Rakyat, tidak melemahkan semangat PAS. 
Malah Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz berkata, pihaknya juga yakin usul persendirian yang dibawa presiden mereka itu akan tetap dapat dibentangkan di Dewan Rakyat. 

“Itu cerita dulu (usul persendirian pembangkang tidak dapat dibaca langsung di Dewan Rakyat). Kita sudah dua kali bawa usul ini dan Speaker sudah benarkan, jadi kita yakin ia akan dapat dibacakan,” katanya ketika ditemui pemberita di depan bangunan Parlimen di sini, sebentar tadi. 

Malam tadi, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan bahawa BN tidak akan membentangkan RUU 355 selepas ia diputuskan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN. 

Najib berkata keputusan itu selaras dengan amalan BN yang akan membuat keputusan berdasarkan konsensus bersama parti komponennya. 

Sehubungan itu, katanya, pembentangan RUU 355 akan kekal sebagai rang undang-undang persendirian yang akan dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. 

Ditanya adakah PAS merasakan pihaknya disabotaj, Nik Mohamad Abduh berkata tidak, tetapi menyifatkan keputusan itu menunjukkan UMNO gagal meyakinkan rakan komponennya di dalam BN. 

“Oleh kerana di dalam BN perlu konsensus, maka betullah Perdana Menteri perlu tarik (keputusan RUU 355),” katanya.

Advertisements